Hajiji bertemu ADUN GRS, PH dan lima ADUN BN

Iklan
Hajiji bertemu sebahagian ADUN di kediaman rasminya di Sri Gaya Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gabungan Rakyat Sabah (GRS), tujuh Pakatan Harapan (PH) dan lima ADUN Barisan Nasional (BN) hadir dalam satu perjumpaan di kediaman rasmi Ketua Menteri Sri Gaya di sini, pada Ahad.

Difahamkan perjumpaan itu diadakan secara tertutup tanpa diketahui perinciannya namun dipercayai berkaitan dengan rombakan Kabinet Sabah yang diumumkan oleh Hajiji pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Semua ADUN berkenaan dilihat memasuki kediaman rasmi Ketua Menteri itu pada jam 3.50 petang.

Sementara itu, ADUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai berkata, perjumpaan itu biasa untuk mereka sebelum hadir ke persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Selasa depan.

Iklan

"Ini biasa untuk kita mengadakan mesyuarat sebelum DUN bersidang.

"Tetapi sudah tentu Datuk Seri Hajiji Noor akan memberi taklimat kepada kita mengenai perkembangan semasa politik ketika ini.

Sebahagian ADUN GRS yang hadir di pekarangan kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya Kota Kinabalu.

Iklan

"Bagaimanapun, bukan lagi rahsia bahawa kita mempunyai 44 sokongan ADUN," katanya ketika ditanya pemberita mengenai kehadiran ADUN di Sri Gaya pada Ahad.

Sementara itu, ADUN Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya yang merupakan salah seorang ADUN BN hanya memberi maklum balas ringkas kepada media.

"Tunggulah," katanya ringkas sambil tersenyum kepada pemberita yang menyapanya di pekarangan Sri Gaya.

Pada Jumaat lalu, Hajiji mengumumkan kerajaan Sabah akan melakukan rombakan semula Kabinet dan ia akan dilakukan dalam masa terdekat.