KBS kenal pasti fasiliti sukan perlu dibaik pulih

Iklan
Adam Adli bersama barisan atlet dari Melaka sempena Kejohanan Fin Swimming Malaysia Peringkat Kebangsaan.

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) sedang mengenal pasti fasiliti sukan di bawah kementerian itu yang perlu dibaik pulih di seluruh negara.

Timbalan Menterinya, Adam Adli Abd Halim berkata, pembangunan sukan terutama di peringkat akar umbi akan tergendala jika keadaan fasiliti sukan sedia ada berada dalam keadaan tidak baik.

Iklan
Iklan

"Kita ada banyak atlet yang berpotensi, bukan saja dalam sukan tumpuan tetapi dalam sukan-sukan lain yang mungkin kita tidak dapat menemui mereka kerana fasiliti yang kurang mencukupi.

"Kalau fasiliti sukan itu kurang, kuranglah penglibatan yang mana ia merupakan cabaran utama dalam pembangunan sukan negara," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Kejohanan Fin Swimming Malaysia Peringkat Kebangsaan Kali Pertama di Pusat Akuatik Negeri, Negeri Sembilan di sini pada Ahad.

Iklan

Hadir sama, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Negeri Sembilan, Zul Fadhli Abd Aziz dan Presiden Persatuan Finswimming Malaysia, S. Ravivarma.

Bagaimanapun katanya, secara keseluruhan tahap fasiliti yang ada dalam keadaan baik namun disebabkan kemudahan itu sentiasa digunakan ia perlu dijaga setiap masa.

Iklan

Jelasnya, usaha membaik pulih fasiliti yang didapati bermasalah akan dilakukan secara berperingkat.

"Soal fasiliti ini adalah cabaran yang paling besar dan ia sentiasa diperhalusi dan diteliti terutama dalam memulihkan baik pulih fasiliti sedia ada sebelum kita bina yang baharu," katanya.

Berkenaan Kejohanan Fin Swimming, beliau berkata, lebih ramai atlet dan bakat baharu dalam terbabit dapat dilahirkan hasil penganjuran pertandingan yang bersifat akar umbi.

Jelasnya, pembangunan sukan tersebut masih baharu namun sukan itu sudah dipertandingkan di Sukan Sea beberapa kali dan negara juga ada menghantar atlet.