INSIDEN digantung dua perlawanan susulan kad merah ketika bertemu Vietnam di Hanoi baru-baru ini, sedikit pun tidak mematahkan semangat pemain pertahanan Harimau Malaya, Muhammad Azam Azmi Murad.
Sebaliknya, pemain berusia 21 tahun itu menganggap perkara berkenaan sebagai sesuatu yang mematangkan beliau sebagai pemain kebangsaan sekali gus tekad untuk tidak mengulangi kesilapan tersebut pada masa depan.
Pemain Terengganu FC itu pada masa sama menjadikan pengajaran tersebut sebagai pembakar semangat bagi menebus kembali kesalahan sekiranya diberi peluang untuk beraksi menentang Thailand pada perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF 2022 di Bangkok, Selasa ini.
"Kalau diberi peluang saya akan beri sepenuh hati dan tak beri Thailand jaringkan gol...kita nak buru gol dan pergi ke final,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada Ahad.
Pemain kelahiran Pulau Pinang itu sebelum ini digantung dua perlawanan susulan satu insiden pada aksi Piala AFF 2022 berdepan Vietnam di Stadium My Dinh yang menyaksikan dia dilayangkan kad merah.
Dalam pada itu, Muhammad Azam turut berharap agar skuad Harimau Malaya dapat menampilkan permainan terbaik menentang Thailand di gelanggang keramat pasukan tuan rumah di Stadium Thammasat.
Skuad Harimau Malaya berlepas ke Bangkok hari ini untuk aksi timbal balik separuh akhir menentang skuad Gajah Perang dengan kelebihan satu gol selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Sabtu.
Sekiranya berjaya menjinakkan Thailand yang merangkul enam gelaran Piala AFF, Harimau Malaya akan bertemu pemenang satu lagi aksi separuh akhir antara Vietnam dan Indonesia di pentas final pada 13 dan 16 Januari ini. - Bernama