SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menyasarkan seramai lebih 3.5 juta pelancong dari dalam dan luar negara sepanjang tahun ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian.
Loy Sian berkata, sasaran tersebut adalah hasil pertambahan lima peratus berbanding tahun lalu iaitu seramai 3.3 juta pelancong.
Beliau berkata, antara lokasi yang dijangka menjadi tarikan pelancong adalah Taman Tema Air Splashmania di Gamuda Cove, Banting; teksi air di Klang dan pelancongan pelayaran melalui Terminal Kapal Persiaran Pelabuhan Klang, dekat sini.
"Agropelancongan seperti Selangor Fruit Valley di Bestari Jaya dan beberapa kawasan di Sungai Panjang, Sabak Bernam dan Sekinchan turut diberi perhatian," katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, pakej berasaskan komuniti setempat juga akan dipasarkan secara meluas kerana ia merupakan trend terkini pelancong.
Pada sesi pembentangan Belanjawan Selangor 2023 lepas, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan sebanyak RM6 juta pada tahun ini bagi membangunkan dan merancakkan kembali industri pelancongan di negeri itu.
Tourism Selangor juga akan memperkasa dua kempen promosi pelancongan iaitu ‘Pusing Selangor Dulu!’ bagi domestik dan pasaran antarabangsa ‘Splendid Selangor, Take Me Anywhere’.
Selain itu, Loy Sian berkata, aplikasi rasmi pelancongan negeri iaitu 'Go Selangor!' telah dimuat turun hampir 2,000 pengguna dan diakses sebanyak 6,820 kali.
"Aplikasi tersebut menerima respons agak baik dari pengguna namun terdapat beberapa penambahbaikan yang dicadang seperti pakej tawaran yang perlu diperbanyakkan.
"Seramai 313 operator terlibat pada 2022 yang terdiri daripada sektor perhotelan, makanan dan minuman, gaya hidup, penjualan tiket, lokasi menarik dan aktiviti pelancongan,” katanya.
Beliau berkata, 1,000 operator akan ditambah dalam suku pertama 2023 bagi merancakkan penggunaan aplikasi tersebut.
Aplikasi ‘Go Selangor!’ yang dilancarkan pada April tahun lepas bagi memudahkan pelancong mendapat akses penuh kepada produk pelancongan di negeri itu selain menempatkan pelbagai operator atau peniaga.
Melalui aplikasi yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store dan IOS itu, pengguna boleh membeli tiket, menempah hotel, chalet, inap desa, pengangkutan dan lain-lain. - Bernama