TEL AVIV - Ribuan penunjuk perasaan di Israel mengadakan protes pada Sabtu sebagai membantah kerajaan baharu yang ditubuhkan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu kerana disifatkan paling berhaluan kanan dalam sejarah.
Peserta protes itu turut membawa plakad tertera 'Demokrasi dalam bahaya' dan 'Bersama menentang fasisme dan aparteid' ketika berhimpun di Tel Aviv.
Mereka juga melaungkan slogan 'menteri jenayah' yang pernah digunakan secara meluas ketika demonstrasi mengecam Netanyahu sejak beberapa tahun lalu.
Selepas kemenangan pemimpin Parti Likud itu pada 1 November lalu, beliau telah diberikan mandat untuk membentuk kerajaan bersama parti haluan kanan dan ultra-ortodoks yang menyaksikan beberapa 'ekstremis' kini mengetuai kementerian utama.
"Datuk saya berhijrah ke Israel untuk membina kehidupan lebih baik. Saya tidak mahu demokrasi yang sedang kita nikmati sekarang semakin lenyap dan Mahkamah Agung hilang kuasa. Ekstremis sudah mula mengerahkan puak mereka yang tidak mewakili majoriti," kata peguam, Assaf yang menyertai protes tersebut.
Kerajaan gabungan baharu itu telah mengumumkan rancangan untuk memperluaskan projek penempatan haram Yahudi di Tebing Barat dan melaksanakan pembaharuan sosial.
Pada awal minggu lalu, Menteri Kehakiman baharu, Yariv Levin memaklumkan program reformasi termasuk 'klausa pengurangan kuasa' yang membenarkan Knesset (Parlimen) mengetepikan keputusan Mahkamah Agung.
Pemimpin pembangkang, Yair Lapid bagaimanapun menyelar pelan pembaharuan tersebut kerana dikhuatiri akan mengancam seluruh sistem perundangan di Israel. - AFP