SHAH ALAM - Kerajaan diminta untuk membuat ketetapan gaji minimum kepada belia yang memegang kelayakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja (PKPB), Mohammad Rizan Hassan berkata, keperluan itu adalah disebabkan belia berkemahiran tersebut berpendapatan rendah.
Jelasnya, golongan tersebut merupakan pekerja dari kumpulan yang sering terpinggir dalam masyarakat seperti pekerja muda dan wanita.
"Mereka mungkin tidak mempunyai kuasa tawar-menawar untuk menuntut gaji yang lebih tinggi tanpa campur tangan kerajaan secara langsung.
"PKPB berpandangan gaji minimum (gaji pokok permulaan) yang sesuai untuk golongan belia berkemahiran adalah seperti lepasan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1-2 RM1,800, lepasan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 RM2,000.
"Manakala lepasan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Tahap 4 RM2,300 dan lepasan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) Tahap 4 RM2,800,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
"Majikan tidak boleh mempersoalkan tahap kompetensi pekerja lepasan latihan TVET ini kerana para pekerja ini menjalani latihan kemahiran berdasarkan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan yang mana ianya dibangunkan bersama dengan pihak majikan/industri.
"Bahkan, ada sesetengah bidang, pekerja ini telah memperoleh lesen dan sijil kompetensi tambahan dari badan profesional dalam dan luar negara sebelum diterima bekerja,” ujarnya.
Jelas beliau, PKPB berkeyakinan kenaikan gaji minimum belia berkemahiran tidak menyebabkan peningkatan pengangguran.
Malah katanya, ia dapat mengeluarkan ramai daripada kemiskinan dan memberi manfaat kepada mereka yang bergelut untuk kesejahteraan ekonomi serta sosial.
"Ini kerana belia berkemahiran rata-ratanya berasal dari keluarga miskin dan kumpulan B40 yang menyertai latihan kemahiran di bawah skim dan inisiatif kerajaan pusat dan negeri,” katanya.
PKPB percaya dengan adanya gaji minimum untuk belia berkemahiran akan dapat menarik minat lebih ramai golongan belia menyertai latihan TVET kerana jaminan kerjaya berpendapatan tinggi adalah jelas.