SHAH ALAM - Konflik akibat perkahwinan yang tidak mendapat restu keluarga boleh memberikan kesan jangka panjang yang serius termasuk 'childhood' trauma terhadap anak-anak.
Perunding motivasi dan kaunseling, Hushim Salleh berkata, lebih memburukkan keadaan apabila masalah rumah tangga didedahkan di media sosial sehingga menyebabkan campur tangan pihak lain yang disifatkan sebagai ‘tidak sihat’.
Menurutnya, banyak kes diterima melibatkan anak yang berdepan dengan masalah trauma dan psikologi kesan daripada kahwin lari dan perkahwinan tidak direstui.
"Dalam kes yang saya kendalikan, ada suami sudah berkahwin lain sehingga enam tahun, baru isterinya tahu. Apabila tahu, memang akan berlaku perang besar.
"Poligami tidak salah cuma jadi masalah bila suami merahsiakan perkahwinan itu. Tidak ada wanita yang boleh terima. Ada yang datang ke klinik saya sampai bergaduh dan selalunya wanita akan minta diceraikan,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Hushim menambah, terdapat 20 hingga 25 kes sebulan yang dikendalikannya membabitkan masalah rumah tangga, antaranya pasangan yang berkahwin baru, suami tidak memberi nafkah, pasangan yang dalam fasa bercerai dan suami ‘biawak hidup’.
Bagaimanapun katanya, apa yang lebih memburukkan perkahwinan adalah bila masalah rumah tangga dibawa ke media sosial.
"Cabaran hari ini lebih besar kerana kita terlalu didedahkan dengan media sosial. Jadi, masalah rumah tangga sekarang berbeza dengan 10 tahun lepas. Ada yang bongkar dan dedahkan kelemahan masing-masing di TikTok misalnya, ini ‘tidak sihat’ untuk sesebuah perhubungan.
"Tidak perlu kita aibkan dalam media sosial kerana setiap daripada kita mesti kelemahannya. Tapi untuk harmonikan keluarga dan anak-anak, saya nasihatkan jumpa pihak ketiga yang dipercayai seperti kaunselor.
"Dalam Islam sendiri, ada ‘hakam’ iaitu pihak ketiga yang boleh mendamaikan dan harmonikan rumah tangga itu. Dalam soal ini, kaunselor. Kita harmonikan balik dan kalau nak lepaskan geram, buat secara tertutup,” ujar beliau.
Jelasnya, banyak perkahwinan berlaku setelah suami terlibat berkenalan dengan orang baharu melalui media sosial.
Dalam kes sebegini katanya, lelaki tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya kerana banyak faktor yang menyumbang ke arah itu.
"Ada yang memberitahu isteri tiada masa berkualiti dengan suami. Banyak juga kes isteri yang tidak menunaikan nafkah batin apabila diminta. Kurangnya sentuhan, komunikasi dan luangkan masa bersama juga antara penyebab lelaki mencari wanita lain.
"Jadi, apabila ada masalah, duduk bincang bersama-sama untuk harmonikan kembali suasana rumah tangga. Kalau tidak dapat selesai juga, pergi sesi kaunseling bagi mengelakkan masalah rumah tangga melarat,” katanya.
Faktor suami kahwin lain:
- Berkenalan wanita baharu di media sosial
- Isteri tidak menunaikan nafkah batin apabila diminta
- Kurangnya sentuhan dan komunikasi antara pasangan
- Kurang luangkan masa bersama pasangan