PASIR PUTEH - Peniaga di premis berhadapan sebuah stesen minyak di Bandar Lama Pasir Puteh, di sini masih mengeluh dan kecewa berikutan masalah banjir kilat di hadapan kedai mereka yang tidak berkesudahan.
Mereka mendakwa, situasi lebih 20 tahun itu berpunca daripada longkang yang tidak diselenggara dengan baik menyebabkan lokasi itu digenangi air apabila hujan lebat dalam tempoh satu jam.
Pekerja kedai komunikasi, Nasrul Azman, 30, berkata, air mudah bertakung di hadapan stesen minyak itu dan melimpah di atas jalan sejauh kira-kira 50 meter.
Bagaimanapun katanya, kedai berkenaan tidak terlibat tetapi turut dinaiki air pada 19 November lalu ketika beberapa daerah di negeri ini terjejas teruk akibat bencana itu.
Menurut Nasrul, banjir kilat tidak menghalang peniaga meneruskan perniagaan kerana air surut jika hujan tidak berpanjangan.
Peniaga barangan kecantikan, Nur Jannah Azmi, 30, pula mendakwa, banjir kilat di sepanjang premis berhadapan stesen minyak Petron itu tidak berkesudahan sejak dia masih belajar.
"Sebut sahaja kawasan bandar lama Pasir Puteh depan stesen minyak di sini, penduduk di sini sudah tahu masalah kami iaitu banjir kilat.
"Kawasan kedai kami tetap digenangi air jika hujan lebat walaupun bukan musim banjir. Kami perlu sentiasa bersedia mengangkat barang jualannya ke tempat simpanan lebih tinggi jika berlaku hujan," katanya.
Bagi tukang jahit Wan Haslina Wan Mahmud, 38, walaupun kedainya berada di tingkat atas tetapi dia tetap berwaspada kerana bimbang keretanya digenangi air.
Dia yang sudah 12 tahun menjahit di premis itu berkata, banjir kilat memberi kesan kepada peniaga kerana pelanggan tidak dapat singgah membeli.
"Jika hujan lebat, petak parkir dinaiki air dan tindakan pertama kami ialah mengalihkan kenderaan ke belakang kedai.
"Ada masanya saya terpaksa menutup kedai kerana pelanggan sukar berhenti dan bimbang kenderaan sendiri terkepung banjir," katanya.
Menurutnya, peniaga di situ berharap Majlis Daerah Pasir Puteh dapat menyelenggarakan longkang dengan segera kerana hujan lebat selama setengah jam boleh mengakibatkan air bertakung.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh ketika dihubungi memberitahu, sudah maklum mengenai masalah air bertakung di kawasan itu.
"Banjir kilat mudah berlaku di kawasan itu jika hujan lebat kira-kira satu jam kerana sistem perparitan dalam bandar itu tidak sistematik," katanya.
Menurut beliau, permohonan peruntukan sebanyak RM500,000 sudah dibuat pada tahun 2021 untuk pembinaan longkang besar bertujuan mengalirkan air ke sungai sejauh kurang satu kilometer dari bandar itu.
Beliau berharap Jabatan Kerja Raya Pasir Puteh dapat berusaha supaya peruntukan dipercepatkan bagi membolehkan masalah lebih 20 tahun itu diselesaikan.