'Tolong selamatkan anak saya di Myanmar'

Iklan
Ng San (kanan) meminta anaknya diselamatkan daripada kumpulan sindiket pemerdagangan orang di luar negara pada Isnin.

KUANTAN -"Tolong selamatkan anak saya, datuknya sedang nazak," itu antara rintihan menyayat hati ibu kepada salah seorang mangsa sindiket pemerdagangan orang serta penipuan kerja di Myawaddy, Myanmar.

Dia yang mahu dikenali Ng San, 46, berkata, sukar baginya untuk mengesan keberadaan anaknya itu yang dipercayai disembunyikan oleh kumpulan sindiket pemerdagangan orang di negara itu sejak setahun lalu.

Iklan
Iklan

Sehubungan itu, Ng San memohon bantuan Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang bagi memastikan anaknya berusia 18 tahun itu kembali ke pangkuan keluarga.

"Datuknya disahkan hidap penyakit barah dan kini sedang bertarung nyawa (sakit tenat). Dia (datuk) amat berharap dapat berjumpa dengan cucunya sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Iklan

"Saya juga merayu dan berharap kumpulan pemerdagangan manusia itu akan membebaskan anaknya dan dapat tunaikan permintaan datuk untuk bertemu dengan cucunya," katanya pada Isnin.

Ng San yang menetap di Seremban, Negeri Sembilan mendakwa mendapat maklumat bahawa anaknya telah dikurung dan dipukul teruk oleh kumpulan sindiket pemerdagangan orang di Myanmar.

Iklan

Jelasnya, situasi itu menyebabkan dirinya semakin bimbang akan keselamatan, selain pernah dihubungi anaknya meminta supaya diselamatkan.

"Dia memberitahu saya untuk membantunya, dia bekerja keras di sana, tidak makan atau tidur setiap hari dan bekerja 16 jam.

"Jika dia gagal mencapai matlamatnya, dia akan dipukul lagi," katanya.

Sehubungan itu, Ng San turut memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Anwar dan Menteri Luar Negeri supaya membantu menyelamatkan anaknya secepat mungkin.

"Satukan semula keluarga saya," ujarnya.

Sementara itu, Chon Siang memberitahu, mangsa pernah meminta bantuan daripada beliau supaya menyelamatkannya bersama empat mangsa lain.

Bagaimanapun ketika proses menyelamatkan mangsa, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum itu menjelaskan, mangsa didakwa telah disembunyikan kumpulan sindiket.

"Hanya empat mangsa berjaya diselamatkan dan dua sudah pulang ke Malaysia sementara bakinya masih ada di Bangkok, Thailand.

"Jadi, saya akan membantu mengesan mangsa kerana di atas usaha keras sebelum ini telah menyelesaikan empat rakan senasib," kata beliau.