Prasarana belanja RM2.8 bilion tambah baik tren, bas

Iklan
Prasarana akan membelanjakan sejumlah RM2.8 bilion untuk alat gantian tren dan menambah bilangan tren serta bas dalam usaha menambah baik keseluruhan perkhidmatannya.

KUALA LUMPUR - Prasarana Malaysia Bhd akan membelanjakan sejumlah RM2.8 bilion untuk alat gantian tren dan menambah bilangan tren serta bas dalam usaha menambah baik keseluruhan perkhidmatannya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, perbelanjaan yang disediakan oleh Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan itu meliputi keseluruhan perkhidmatan pengangkutan awam di bawah kelolaan Prasarana susulan permintaan tinggi dalam kalangan warga kota.

Iklan
Iklan

"Jika dilihat penambahbaikan yang diperlukan, kami perlu menggantikan alat-alat secepat mungkin serta menambah bilangan tren yang tidak mencukupi buat masa ini,” katanya dalam program ‘Jendela Fikir: Membina Pengangkutan Awam Bersama’ terbitan Bernama Radio yang disiarkan pada Isnin.

Beliau berkata, pandemik Covid-19 telah menjejaskan rantaian bekalan di peringkat global dan Prasarana tidak terkecuali terkesan dengan masalah ini.

Iklan

Alat ganti yang diperlukan bagi tren laluan Kelana Jaya, yang sering mengalami gangguan perkhidmatan, turut menerima kesan isu rantaian bekalan apabila pihak pengendali lewat menerimanya.

"Buat masa ini isu yang kami hadapi adalah perkhidmatan perlu dinaik taraf dan bekalan alat gantian yang terjejas.

Iklan

"Pesanan yang kami buat pada awal tahun lepas tidak dapat dihantar pada masa yang ditetapkan. Kami seharusnya menerima alat ganti yang dipesan untuk tren pada Ogos 2022 namun ia hanya akan diterima pada Januari dan Mei tahun ini,” katanya.

Mohd Azharuddin berkata, laluan Kelana Jaya yang berusia hampir 25 tahun itu seharusnya ditambah baik sepenuhnya pada tiga atau empat tahun lepas, namun penambahbaikan hanya dapat dibuat bagi laluan Ampang sahaja.

"Bagi laluan Kelana Jaya ini pada tiga, empat tahun yang lepas tidak dapat dinaik taraf secara menyeluruh dan (saya) akui terdapat kelemahan daripada aspek penyelenggaraan bagi laluan ini, tetapi solusinya, saya telah mendapat kebenaran daripada lembaga pengarah dan Kementerian Kewangan untuk menaik taraf laluan berkenaan secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata, Prasarana memulakan penambahbaikan sejak pandemik bermula pada 2020 bagi meningkatkan jumlah pengguna perkhidmatan awam yang semakin berkurangan.

Pada 2022, jumlah purata harian adalah 720,000 penumpang dan daripada jumlah itu, 520,000 merupakan penumpang perkhidmatan rel manakala hampir 200,000 merupakan penumpang bas.

"Ini masih kurang kalau dibandingkan dengan tempoh sebelum pandemik dengan jumlah penumpang seharian adalah sangat tinggi iaitu 1.2 juta penumpang.

"Oleh itu, dengan penambahbaikan yang kini sedang giat dijalankan sama ada bagi perkhidmatan rel atau bas, kami menjangkakan dapat meningkatkan jumlah penumpang kepada tahap sebelum pandemik,” katanya. - Bernama