KELEBIHAN 1-0 tidak meletakkan Malaysia di kedudukan selamat menjelang kemuncak perebutan slot final Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 menentang juara bertahan Thailand di gelanggang mereka malam esok.
Menentang Gajah Perang yang berduka selepas aksi separuh akhir pertama di laman sendiri, Sabtu lepas, skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon berada dalam keadaan bahaya sekiranya kekal bermain secara bertahan pada pertembungan di Stadium Thammasat di wilayah Pathum Thani itu.
Pendekatan ‘bola sepak negatif’ akan menyebabkan Malaysia hanya menanti masa dibolosi pihak lawan, sepertimana Thailand yang mempamerkan keupayaan teknikal yang tinggi berjaya menguasai 90 minit permainan ketika perlawanan di Stadium Nasional di Bukit Jalil, dua hari lepas.
Berdasarkan statistik pertembungan itu, anak buah Alexandre Polking mendominasi penguasaan bola sehingga 72 peratus dan melakukan keseluruhan 18 percubaan dengan empat daripadanya tepat ke gawang, manakala Malaysia hanya mencipta satu serangan tepat dalam keseluruhan lima percubaan.
Penghargaan perlu diberi kepada penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed yang bertindak cemerlang menyelamatkan empat percubaan berbahaya Thailand selain pemain sayap sensasi Mohamad Faisal Abdul Halim yang meledak jaringan kemenangan malam itu.
Statistik itu merupakan yang terburuk dicatat pasukan negara selepas empat perlawanan.
Malah meskipun Thailand di ranking lebih rendah berbanding Vietnam, Malaysia dilihat menampilkan aksi lebih bertenaga dan dinamik ketika berdepan skuad Golden Star Warriors itu pada aksi kumpulan di Hanoi sebelum ini.
Selain mengekalkan momentum baik di Bukit Jalil, Thailand pasti hadir dengan segala kekuatan untuk menyingkirkan Malaysia di hadapan penyokong sendiri dalam usaha mereka mempertahankan gelaran.
Perlawanan separuh akhir kedua itu seharusnya menjadi medan buat Pan Gon mengotakan janjinya yang tertangguh apabila menyatakan pasukan negara akan ‘berjuang habis-habisan’ berdepan dengan Thailand tetapi sebaliknya pasukan pelawat mendominasi keseluruhan permainan.
Bercakap mengenai permainan bertahan, strategi itu memerlukan tahap kecergasan optimum pemain kerana ia sangat memenatkan terutama bagi benteng pertahanan dan ia diakui pemain pertahanan negara Sharul Nazeem Zulpakar.
Namun begitu bahagian pertahanan negara mendapat perkhabaran positif apabila Muhammad Azam Azmi Murad kini bebas daripada penggantungan dua perlawanan susulan kad merah kontroversi yang diterima ketika bertemu Vietnam.
Gandingan ampuh bahagian pertahanan sangat dituntut bagi berdepan serangan Thailand diketuai penyerang prolifik berusia 34 tahun Teerasil Dangda, selain pemain sayap Bordin Phala yang membuatkan pemain negara tidak senang duduk dengan larian dan kemahiran menggeleceknya.
Perhatian juga perlu diberikan kepada penjaring terbanyak edisi 2018, Adisak Kraisorn yang sentiasa menunggu peluang menambah jaringan selepas baru mencetak satu gol dalam kempen kejohanan kali ini.
Pada pertembungan esok, bermain secara menyerang ataupun bertahan, pasukan negara tidak sepatutnya mensia-siakan kelebihan yang ada untuk melangkah ke final dan berpeluang menebus kekecewaan muncul naib juara pada 2018.
Pada masa sama, perlawanan esok juga berupaya diheret sehingga ke penentuan sepakan penalti sekali gus mengulangi skrip pertemuan pada kejohanan Piala Raja Thailand September lepas yang menyaksikan Ahmad Syihan muncul wira menafikan rembatan Supachok Sarachart.
Kemenangan di Bukit Jalil tempoh hari menyaksikan Malaysia melebarkan rekod tanpa kalah berdepan Thailand kepada enam perlawanan selepas menang dua dan seri tiga dalam pertemuan sebelum ini sejak 2018.
Namun, Thailand adalah pasukan paling berjaya dalam kempen Piala AFF sejak penganjuran sulung pada 1996 apabila muncul juara sebanyak enam kali selepas beraksi pada sembilan edisi final.
Thailand juga memiliki sedikit kelebihan dalam rekod pertemuan menentang Malaysia pada peringkat separuh akhir apabila memenangi dua daripada keseluruhan tiga pertembungan masing-masing pada edisi 2000 (2-0) dan 2012 (3-1) sementara tewas menerusi kelebihan jaringan di tempat lawan pada edisi 2018. - Bernama