PUTRAJAYA - Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mendedahkan bahawa beliau pernah menerima ancaman bunuh dan berlaku cubaan untuk menakut-nakutkan badan kehakiman ketika prosiding kes melibatkan tokoh dan personaliti tertentu.
Menurut beliau, cubaan menakut-nakutkan badan kehakiman dengan memberi tekanan terhadap hakim yang mendengar kes berkepentingan awam adalah satu penghinaan langsung kepada Kedaulatan Undang-undang dan kebebasan kehakiman.
Tengku Maimun berkata, perbuatan itu patut dikecam kerana ia memburukkan imej mahkamah melalui kritikan yang tidak adil dan berat sebelah, hanya kerana mereka tidak menyukai keputusan tertentu.
"Ada kes tertentu, kami terima sokongan mahukan kecaman malah saya juga dapat ancaman bunuh. Sedangkan mana-mana hakim tidak mempunyai sebarang agenda dalam setiap keputusan kes mahkamah yang dikeluarkan," katanya ketika sidang media Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada Isnin.
Justeru beliau berharap supaya masyarakat tidak membuat kenyataan yang keterlaluan dan berfikir terlebih dahulu sebelum membuat komen kerana ia hanya akan mencerminkan mereka sebagai individu yang kurang kefahaman mengenai undang-undang.
Menurutnya, ketika mahkamah mendengar kes-kes yang melibatkan tokoh atau personaliti tertentu, pandangan awam akan lebih tertumpu berbanding kes lain.
"Ada komen yang diberikan kepada Badan Kehakiman itu menjadi agak keterlaluan dan berat sebelah.
"Ada pendapat dikeluarkan berbaur politik, sedangkan pada pandangannya, ia bukan mesej yang membina dalam bidang perundangan," katanya.
Pada 20 Ogos lalu, seorang lelaki ditahan polis kerana disyaki mengugut dan mengancam untuk membunuh Tengku Maimun.
Menurut Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Asisten Komisioner Skandaguru Anandan, pihaknya telah menerima laporan mengenai ancaman dan ugutan di media sosial terhadap Tengku Maimun yang dimuat naik pemilik akaun Facebook bernama ‘apiez bond’.
Tiga hari kemudian, Mahkamah Persekutuan, di sini memutuskan untuk mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Panel lima hakim yang diketuai oleh Tengku Maimun dalam keputusan sebulat suara mendapati pembelaan yang dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.