PUTRAJAYA - Gabungan Gerakan Keadilan Untuk Datuk Seri Najib Razak menghantar memorandum memohon kerajaan mengambil langkah sewajarnya berkaitan perbicaraan kes SRC dan penahanan bekas perdana menteri itu di Perdana Putra pada Isnin.
Memorandum tersebut diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Setiausaha Politik Perdana Menteri, Chan Ming Kai.
Koordinator NGO, Datuk Lokman Noor Adam berkata, kerajaan diminta mengambil tindakan sewajarnya terhadap penahanan Najib yang didakwa tidak sah.
"Kami melihat terdapat fakta-fakta yang menunjukkan bahawa terdapatnya kecacatan dalam proses perbicaraan kes Najib.
"Ia sekali gus mengakibatkan Najib tidak mendapat keadilan seperti mana yang sepatutnya diberikan kepada beliau," katanya dalam sidang akhbar di pekarangan balai pengawal Perdana Putra di sini pada Isnin.
Beliau berkata, jika kerajaan tidak melakukan sesuatu, Najib akan terus dianiayai.
"Setiap detik beliau dikurung di balik tirai besi tanpa melalui proses keadilan yang sempurna adalah satu bentuk kezaliman kepada beliau dan keluarganya.
"Satu tindakan drastik dan pantas harus diambil oleh kerajaan bagi memastikan Najib diberikan ruang untuk dibebaskan dan kes SRC ini dibicarakan semula dengan adil tanpa ada sebarang kepincangan dan keraguan," jelasnya.
Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Datuk Seri Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.