KUANTAN - Seorang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) membuat laporan polis mendakwa kerugian RM54,150 selepas menjadi mangsa penipuan individu menyamar anggota polis dan pegawai Kementerian Komunikasi, penghujung Disember tahun lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, nasib malang menimpa mangsa seorang wanita berusia 21 tahun itu berlaku selepas menerima panggilan daripada seorang 'pegawai polis' pada 31 Disember lalu.
Menurutnya, panggilan seterusnya disambung kepada 'pegawai' kementerian komunikasi sebelum diberitahu mangsa terlibat dengan penyebaran iklan palsu berkait aktiviti perjudian, penyeludupan dadah dan penggubahan wang haram.
"Mangsa telah membuat 12 transaksi pembayaran melalui tiga akaun berbeza," katanya.
Ramli berkata, selepas bayaran dibuat, mangsa menyedari telah ditipu dan menanggung kerugian sebanyak RM54,150.
"Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya sekiranya menerima panggilan meragukan.
"Buat semakan terlebih dahulu dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan," katanya.
Tambah beliau, orang ramai juga perlu tahu bahawa pihak polis dan penguat kuasa mana-mana agensi tidak menjalankan siasatan melalui panggilan telefon.