SHAH ALAM - Pelakon Zarina Zainuddin mengakui bukan sesuatu yang mudah untuk memperoleh cinta daripada lelaki yang sudah bergelar suami orang kerana pelbagai dugaan dan rintangan perlu dihadapi.
Pada masa sama, Zarina turut memberi saranan kepada wanita di luar sana supaya elakkan untuk jatuh cinta dengan suami orang kerana pada akhirnya yang merana nanti adalah wanita itu sendiri.
"Sebab kita kena hidup merana dulu. Bukan senang nak dapatkan cinta lelaki yang sudah berkahwin sebab dia sudah ada istimewa sebenarnya tetapi kerana dia dapat bunga yang baru konon-kononnya dia akan cakap kita ini yang indah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis program Mak Untuk Malaysia (MUM), ‘Korban Kasih Zarina Zainuddin’ yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Isnin.
Program selama sejam itu dikendalikan oleh Nor Azzura Azizul Azman sebagai hos.
Dalam pada itu, Zarina turut mengakui merasakan 'makan hati berulam jantung' semasa menjadi isteri kedua kerana suaminya kurang menghabiskan masa bersamanya di rumah.
Malah katanya, demi 'menjaga hati' isteri pertama, dia hanya mendedahkan dirinya menjadi isteri kedua selepas usia perkahwinan mencecah 21 tahun.
"Makan hati berulam jantung. Bukan senang sebab suami kalau dah kahwin dengan kita, dia akan cuba untuk pujuk hati isteri pertama balik sebab dia rasa bersalah.
"Jadi kita yang akan makan hati. Saya stress tetapi perlu sabar dan kuat. Alhamdulillah segalanya menjadi baik selepas saya mengandung.
"Bahagia itu sebenarnya kita yang cipta, kita cipta kebahagiaan kita sendiri. Jangan tamak sebab tahu saya hidup bermadu maka saya perlu berkongsi.
"Saya cuba ambil hati suami, madu saya dan walaupun kadang-kadang kena perli, kita kena terima. Ada orang marah sebab ambil suami orang memanglah marah, jadi kita kena sedar diri kita sudah ambil hak orang, jangan kita pula lebih-lebih," ujarnya yang kelihatan sebak dan menitiskan air mata ketika berkongsi kisah hidupnya.
Pelakon kelahiran Bota, Perak itu menyatakan dia meletakkan syarat kepada suaminya jika ingin berkahwin dengannya perlu mendapat keizinan daripada isteri pertama.
"Saya tak nak kahwin dengan suami orang dan tak nak jadi perampas. Jadi saya katakan kepada suami sekiranya ikhlas bawalah Ina (Zarina) pergi jumpa kepada isteri pertama abang.
"Saya katakan saya sendiri minta izin daripada isteri abang. Jika tidak diizinkan saya tidak akan kahwin dengan suami orang," jelasnya.
Zarina menyifatkan suaminya seorang lelaki yang budiman kerana berani membawanya untuk meminta izin dan bertemu dengan isteri pertama.
Jelasnya, selepas pertemuan dengan isteri pertama, wanita itu menelefon ibunya dan memberi keizinan untuk suaminya berkahwin dengannya.