Majlis Peguam saran umur persaraan hakim 70 tahun

Iklan
Majlis Perasmian Pembukaan Tahun Perundangan 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Isnin. - Foto Bernama
PUTRAJAYA - Majlis Peguam pada Isnin mencadangkan supaya umur persaraan hakim dinaikkan kepada 70 tahun berbanding had umur 65 tahun sekarang.

Presidennya, Karen Cheah Yee Lynn berkata, sudah banyak bidang kuasa di seluruh dunia telah menetapkan umur persaraan hakim pada usia 70 tahun.

"Majlis Peguam Malaysia menggesa kerajaan membuat pindaan Perlembagaan untuk memberi kesan kepada pembaharuan penting ini,” kata Cheah dalam ucapannya pada perasmian Tahun Undang-undang 2023, di sini pada Isnin.

Terdahulu, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat ketika berucap pada majlis yang sama, menegaskan beliau akan bersara pada 2025.

Dalam perkembangan lain, Cheah menggesa kerajaan bekerjasama dengan Lembaga Pengampunan bagi memastikan lebih 1,300 orang yang disabitkan kesalahan yang sedang menunggu hukuman mati juga dikecualikan daripada hukuman mati.

Beliau berkata, banduan ini tidak sepatutnya dibiarkan terkurung di dalam penjara tanpa mengetahui tentang nasib mereka. Pada masa ini, terdapat moratorium pelaksanaan hukuman mati terhadap banduan.

"Ia adalah cara yang tidak berperikemanusiaan melayan banduan yang dikenakan hukum mati," katanya.

Cheah juga berkata, ketika Malaysia maju secara demokrasi, ia mesti beralih daripada membunuh orang atas nama keadilan.

Beliau berkata, banduan ini layak mendapat perlindungan asas.

"Oleh itu, kami mengalu-alukan pengumuman bahawa hukuman mati mandatori akan dimansuhkan berkaitan 11 kesalahan yang membawa hukuman sedemikian, dengan budi bicara untuk mengembalikan hukuman kepada domain kehakiman yang tidak terikat,” katanya.

Sementara itu, Cheah berkata, setakat November tahun lepas, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan atau YBGK telah membantu 222,361 rakyat Malaysia.

Ditubuhkan pada 2012, dengan bantuan kerajaan yang telah menyediakan RM5 juta untuk memulakan program itu.

Di bawah skim itu, peguam membantu golongan miskin dan memerlukan dengan mewakili mereka dalam kes yang melibatkan tangkapan, reman, pengurangan hukuman dan jaminan, perbicaraan serta rayuan. - Bernama