Tiada rundingan terus pelaksanaan pengurusan banjir

Iklan
Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tidak akan ada rundingan secara terus kepada mana-mana pihak dalam pelaksanaan pelan pengurusan bencana banjir jangka panjang sehingga tahun 2100.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, pelaksanaan pelan yang membabitkan unjuran perbelanjaan hampir RM297 bilion itu mesti diberi kepada syarikat yang layak serta mampu melaksanakannya.

Iklan
Iklan

"Ini adalah satu jumlah yang besar dan jangan harus ada rundingan terus, bukannya untuk individu atau ahli-ahli politik yang mempunyai kepentingan untuk sesuatu syarikat itu,” katanya ketika menjadi tetamu Naratif Khas Bersama Timbalan Perdana Menteri terbitan RTM, malam ini.

Ahmad Zahid berkata, beliau tidak menyentuh mana-mana pihak dalam perkara berkenaan namun menegaskan permasalahan rakyat yang sering menghadapi banjir serta bencana lain di negara ini perlu diselesaikan.

Iklan

"(Begitu juga) isu tanah runtuh, berlaku hakisan di pantai, hakisan di tebing bukit dan gunung, berlaku juga masalah penggondolan di kawasan-kawasan tadahan hujan, penarahan kawasan yang tidak sepatutnya ditarah untuk pembangunan, ini harus diselesaikan.

"...termasuk (isu) pemanasan global apabila ozon semakin nipis dan kepanasan itu berlebihan dan perkara ini harus diatasi, itulah soal iklim dan alam sekitar juga harus diambil kira dalam hal bencana negara ini," katanya.

Ahmad Zahid berkata, pelan jangka panjang yang telah dirancang agensi dan jabatan tertentu itu turut merangkumi pelan mitigasi banjir sama ada di kawasan Pantai Timur atau lokasi bandar yang tidak sepatutnya berlaku banjir.

Iklan

"Itulah dipanggil pengurusan banjir...ertinya langkah-langkah segera perlu dilakukan termasuklah Smart City di mana berlaku banjir kilat (misalnya) di Kuala Lumpur suatu ketika, ada Terowong SMART dan harus ada banyak lagi Terorwong SMART di bandar-bandar lain.

"Pada waktu sama, di kawasan-kawasan Shah Alam baru-baru ini berlaku banjir, bukan banjir kilat, bagi saya ia (kerana) pengurusan saliran di kawasan bumi yang indah itu. Jadi, ia mesti tidak hanya mengorek sungai yang ada tetapi mesti ada satu pelan tentang bagaimana air berlebihan disebabkan hujan harus diletakkan di Terowong SMART dan dilepaskan pada musim kering,” katanya.

Pada 15 Disember lepas, Ahmad Zahid berkata kerajaan akan terus melaksanakan projek tebatan banjir bagi menangani masalah bah di negara ini sehingga tahun 2100 dengan perancangan yang akan dilakukan secara berfasa di kawasan yang sering mengalami banjir serta limpahan hujan.

Mengenai kos sara hidup, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan dan Pemantauan Kos Sara Hidup berkata kerajaan menggariskan tiga keutamaan dalam menjamin kehidupan rakyat iaitu makanan yang harus dihidangkan untuk seisi keluarga, kebolehmampuan dan kuasa beli seseorang dan isu berkaitan perumahan.

"Apa kerajaan lihat bukan hanya soal tarif elektrik sebagai satu elemen penting dan bukan sahaja soal harga telur, ayam, ikan dan sayur tetapi kita mesti lihat subsidi bukan hanya satu jalan penyelesaian tetapi kita mesti juga melihat subsidi secara bersasar.

"Perlu juga lihat bagaimana kos pengeluaran harus dikurangkan, bagaimana tarif elektrik harus dibuat secara bersasar, bagaimana perimbangan harus ada supaya tiada atap genting atap rumbia, maknanya berlaku satu jurang pendapatan terlalu besar sehingga melibatkan kesejahteraan tidak dapat diwujudkan," katanya. - Bernama.