SHAH ALAM - Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menyindir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Mohamad Sabu kerana didakwa mengutamakan telur ayam import berbanding keluaran tempatan.
Bekas Menteri Pengangkutan itu berkata, Ahli Parlimen Kota Raja itu yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu sepatutnya mengutamakan penternak tempatan dan tidak perlu menjelajah jauh ke India untuk meninjau ladang telur di Namakkal, Tamil Nadu, India.
"Abang Mat, jauh jelajah? Perlu ke India tengok telur ke? Saya cadangkan datang ke kawasan saya Parlimen Ayer Hitam. Yong Peng ada lebih 100 ladang ayam.
"Di sinilah tempat paling popular menghasilkan telur untuk pasaran tempatan dan juga berjuta biji telur dieksport ke Singapura setiap hari," katanya menerusi Facebook pada Isnin.
Media pada Isnin melaporkan Mohamad berlepas ke India, hujung minggu lalu bagi melihat sendiri proses pengeluaran telur ayam yang dieksport ke Malaysia.
Lawatan itu juga bagi memastikan telur yang diimport untuk rakyat Malaysia adalah bersih, selamat dan lebih murah dari telur tempatan.
Mengulas lanjut, Presiden MCA itu menegaskan, bekalan telur sudah tidak perlu diimport jika ia mencukupi.
"Tak perlu import telur dari India jika bekalan mencukupi. Kementerian Abang Mat turut menjaga keterjaminan makanan? Fikir-fikirkanlah Abang Mat! Telur dan ayam adalah makanan asas rakyat tak kira kaum atau agama. Patut dijadikan keutamaan," katanya.
Beliau juga mempertikaikan penetapan harga telur tempatan yang lebih murah berbanding harga telur diimport dari India yang boleh menjejaskan penternak ayam dalam negara.
"Abang Mat, telur tempatan hanya boleh dijual dengan 41 sen sebiji kerana ada kawalan harga. Penternak tempatan mengalami kerugian kerana harga kos mereka melebihi harga kawalan telur. Jika mereka mengalami kerugian, penternak tidak akan menternak ayam untuk menghasilkan telur.
"Saya rasa pelik pula, telur diimport dari India dijual dengan 50 sen sebiji. Kalau diangkut menggunakan kapal, telur dari India mengambil masa tiga hingga empat minggu untuk sampai ke Malaysia. Segarkah telur India berbanding telur tempatan?" tambah beliau.
Susulan itu, beliau mencadangkan kepada Mohamad supaya menetapkan harga kawalan telur tempatan kepada 50 sen sebiji sama seperti harga telur yang diimport dari India.
"Saya rasa kalau harga kawalan ditetapkan 50 sen sebiji, mungkin penternak tempatan sanggup menternak ayam kerana mereka tidak akan rugi.
"Kalau kerajaan mampu dan bersungguh mahu membantu golongan B40, boleh wujudkan elaun telur secara tambah nilai kepada golongan B40 untuk menanggung bebanan kewangan iaitu selisih harga 9 sen sebiji. Kalau RM200 setahun, banyak telur boleh dimakan oleh keluarga B40," ujarnya.