ISU peningkatan mendadak dengan tambahan sebanyak 50 peratus daripada harga asal perkhidmatan ibadah umrah yang ditawarkan pengendali perkhidmatan itu telah mendapat respons daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Beliau yang kini berada di Arab Saudi bagi mewakili negara untuk menghadiri Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 akan mengemukakan isu kenaikan berkenaan kepada Menteri Haji Kerajaan Arab Saudi.
Kita harapkan ada hasil yang positif bagi bakal jemaah dan pengusaha agensi umrah di negara kita kerana isu kenaikan harga mendadak sewaan hotel, tiket penerbangan dan khidmat di Arab Saudi memberi kesan besar kepada banyak pihak.
Berdasarkan masalah yang berlaku, diharapkan Menteri Agama dapat mencadangkan kepada pihak Arab Saudi agar dapat menetapkan garis panduan kepada pengusaha hotel di sana supaya tidak menaikkan harga, membatalkan tempahan dan mengubah perjanjian dengan menukar jemaah ke hotel lain dengan sesuka hati.
Beliau juga boleh mencadangkan kepada kerajaan Arab Saudi supaya mempertimbangkan garis panduan kepada pemilik hotel yang membatalkan, menaikkan harga atau mengubah terma perjanjian yang telah dibuat dengan membayar ganti rugi.
Ia bertujuan memastikan pengendali perkhidmatan umrah dan bakal jemaah mendapat pembelaan sewajarnya apabila berlaku situasi seumpama ini.
Sebagai contoh dengan wang ganti rugi itu boleh digunakan oleh agensi pelancongan dan umrah untuk membuat tempahan hotel di tempat lain atau membayar ganti rugi kepada bakal jemaah yang terpaksa membatalkan hasrat menunaikan ibadah berkenaan.
Bagi penyelesaian jangka pendek, adalah diharapkan penyedia perkhidmatan umrah mencari penyelesaian kepada isu yang dihadapi kerana jumlah peningkatan itu bukan suatu jumlah yang kecil dan mungkin di luar kemampuan bakal jemaah.
Mereka tidak boleh meletakkan peningkatan tersebut hanya kepada sebelah pihak dan ditanggung sepenuhnya oleh bakal jemaah.
Justeru, peranan dan tanggungjawab banyak pihak diperlukan pada ketika ini bagi memastikan tidak ada pihak yang tersepit dan terpaksa memikul beban sendirian.