ADA yang kata istilah sedap bagi setiap masakan dan hidangan itu subjektif kerana bergantung kepada cita rasa atau dengan kata mudah lidah masing-masing.
Sektor makanan dan minuman di negara ini telah melalui pelbagai fasa perubahan baik dari sudut kepelbagaian menu, rasa, nama, saiz hidangan dan kaedah jualan.
Bak kata seorang rakan Merak Jalanan, untuk menarik pembeli ada sesetengah peniaga makanan ini menggunakan perkataan viral dalam menu mereka, sebagai contoh teh ais viral.
Sama juga dengan beberapa menu pasti ada perkataan 'cheese leleh' bagi tujuan menarik pelanggan.
Ia tidak menjadi masalah kerana itu sebahagian daripada strategi pemasaran tetapi biarlah rasa makanan itu gah seperti namanya.
Seiring dengan perkembangan semasa dunia media sosial, ramai peniaga menggunakan medium ini bagi mempromosikan restoran masing-masing.
Biasanya, khidmat pempengaruh media sosial digunakan untuk membuat ulasan makanan di restoran atau pun gerai jualan.
Namun, sesuatu yang tidak wajar ialah apabila ulasan mengenai makanan indah khabar daripada rupa.
Apabila ada pelanggan berkunjung ke restoran yang dimaksudkan, ternyata ulasan pempengaruh tidak menggambarkan keadaan sebenar.
Merak Jalanan sendiri pernah menjadi mangsa apabila terpedaya dengan ulasan mengenai restoran ikan bakar yang digambarkan serba sempurna di TikTok rupa-rupanya cukup mengecewakan.
Bermula dengan servis yang lambat, tempat yang sempit hinggalah kepada makanan yang tidak sedap, semuanya berbeza dengan ulasan di media sosial.
Oleh itu nasihat Merak Jalanan kepada semua peniaga, amalkanlah sikap jujur dalam mempromosikan perniagaan dan jangan sampai menipu pelanggan kerana sikap seumpama itu hanya merosakkan perniagaan sendiri.