Kereta rosak, wanita maut dilanggar lori

Iklan
Mangsa disahkan maut di lokasi kemalangan di KM235.6 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, Kuala Kangsar pada Selasa. - Foto pembaca

KUALA KANGSAR - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita maut selepas dirempuh sebuah lori ketika berada di sisi keretanya yang rosak di Kilometer 235.6 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat sini pada Selasa.

Dalam kejadian sekitar jam 5.20 pagi itu, B Kathigayayini, 36, pekerja bank meninggal dunia di tempat kejadian selepas cedera parah akibat tercampak.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, kejadian berlaku semasa kereta jenis Honda Civic dinaiki mangsa bersama dua lagi rakan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Taiping.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, kereta berkenaan mengalami kerosakan menyebabkan kenderaan itu berhenti di tepi kiri jalan.

Iklan

"Mangsa yang duduk di bahagian penumpang hadapan bersama pemandu telah keluar dari kenderaan untuk melihat keadaan kereta.

"Dalam masa sama, sebuah lori kontena tanpa muatan sedang mara di lorong kiri dan melanggar sisi kereta itu.

Iklan

"Akibat perlanggaran, mangsa yang ketika itu berdiri di sisi kanan kereta tercampak dan disahkan meninggal dunia," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Beliau berkata, kejadian turut mengakibatkan lori terlibat terbabas melanggar besi penghadang dan terbalik di bahu jalan.

Katanya, pemandu lori berusia 53 tahun itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Siasatan awal menunjukkan, pemandu lori tersebut telah cuai mengawal kenderaan hingga menyebabkan perlanggaran berlaku.

"Ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas pemandu itu didapati negatif daripada pengambilan dadah," katanya.

Siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.