KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Seorang bayi lelaki berusia empat bulan koma dipercayai didera pengasuh sebuah pusat jagaan kanak-kanak berdaftar di Batu Burok di sini, pada Rabu lalu.
Bayi tersebut yang mengalami kecederaan serius iaitu pendarahan di dalam otak dan keretakan pada tempurung kepala kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, kejadian disedari bapa mangsa berusia 29 tahun yang bekerja sebagai pegawai perubatan ketika mengambil bayinya di pusat jagaan tersebut.
"Mangsa didapati berada dalam keadaan lemah dan kesakitan lalu dibawa ke hospital.
"Hasil pemeriksaan menunjukkan terdapat darah beku dalam kepala bayi itu dan bapa mangsa membuat laporan polis pada hari sama," katanya selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Terengganu di sini pada Selasa.
Susulan laporan itu kata Rohaimi, pihaknya telah memanggil pengasuh pusat jagaan terbabit untuk membantu siasatan, namun menafikan berlakunya penderaan selain memberikan keterangan meragukan.
Bagaimanapun katanya, siasatan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati ada unsur-unsur jenayah dalam kejadian itu.
Jelas beliau, mangsa baru sahaja didaftarkan di pusat jagaan kanak-kanak itu selama tiga hari sebelum kejadian berlaku.
"Susulan itu, polis telah menyerbu pusat jagaan kanak-kanak itu dan menahan tiga wanita tempatan berusia lingkungan 22 hingga 33 tahun yang bekerja sebagai pengasuh pada Isnin.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak iaitu kesalahan menganiaya atau mencederakan kanak-kanak yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.