Penerbangan ihsan selamatkan ibu mengandung

Iklan
Helikopter Maritim Malaysia tiba dari Pulau Tioman dan mendarat di Pangkalan Udara Kuantan sebelum pesakit dihantar ke HTAA menggunakan ambulans.

KUANTAN - Seorang wanita mengandung yang mengalami kontraksi kelahiran pramatang diterbangkan dari Pulau Tioman ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini melalui penerbangan ihsan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), pada malam Isnin.

Pesakit, Afika Abu Bakar, 22, memerlukan rawatan segera di hospital kerana dijangka bersalin awal.

Iklan
Iklan

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, penerbangan ihsan menggunakan khidmat helikopter jenis Agusta AW139 milik Maritim Malaysia dari Stesen Udara Maritim Subang (SUMS).

Pesakit yang menunjukkan tanda-tanda untuk bersalin pra matang terpaksa dihantar dari Pulau Tioman ke HTAA menggunakan khidmat helikopter Maritim Malaysia ekoran laut bergelora pada Isnin.

Menurutnya, Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kuantan menerima panggilan dari Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat Maritim (MRCC) Putrajaya kira-kira jam 4.20 petang bagi bantuan memindahkan pesakit ke hospital untuk pembedahan.

Iklan

"Penerbangan ihsan itu dikendalikan juruterbang, Leftenan Komander Maritim Tengku Zamel Tengku Zalwai dibantu pembantu juruterbang, Leftenan Komander Maritim Muhammad Mahathir Ahmad bersama dua kru udara," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kamal Ariffin berkata, turut mengiringi pesakit dalam penerbangan itu, suaminya, pegawai perubatan dan seorang jururawat.

Iklan

Beliau berkata, bantuan penerbangan itu bergantung kepada keadaan aset Maritim Malaysia dan keutamaan diberikan kepada bidang penguatkuasaan serta operasi mencari dan menyelamat (SAR) termasuk keperluan bantuan semasa banjir di negeri-negeri yang terjejas khususnya di Pantai Timur.

"Bagaimanapun, Maritim Malaysia juga akan tetap berusaha sedaya upaya untuk membantu dalam situasi ini.

Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999," katanya.

Helikopter jenis Agusta AW139 milik Maritim Malaysia dari Stesen Udara Maritim Subang (SUMS) yang terlibat melakukan penerbangan ihsan membawa ibu mengandung dari Pulau Tioman ke HTAA di sini pada Isnin.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Indera Dr Nor Azimi Yunus berkata, penerbangan ihsan itu adalah yang kedua dalam tempoh seminggu di negeri ini.

Menurutnya, pesakit berkenaan menunjukkan tanda-tanda untuk bersalin pra matang terpaksa dihantar ke hospital menggunakan khidmat helikopter ekoran laut bergelora

"Setakat pagi ini, pesakit masih dalam perawatan untuk mengelakkan proses kelahiran pramatang.

"Terima kasih kepada pihak Maritim Malaysia dan TUDM di atas kerjasama strategik membantu pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dalam penyampaian perkhidmatan kepada pesakit," ujarnya