KUALA TERENGGANU- Jambatan angkat atau 'drawbridge' akan mula beroperasi sebelum Aidilfitri ini, sekali gus dapat mengurangkan masalah kesesakan bandar raya Kuala Terengganu setiap kali musim perayaan.
Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jambatan itu dijangka akan siap dalam tempoh sebulan lagi, sebelum diserahkan kepada kerajaan negeri.
Menurutnya, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yang menguruskan pembinaan jambatan angkat dan menara jambatan itu akan membuat penyerahan pada 30 Mei nanti.
"Kita optimis dan berharap sekiranya segala proses dapat disiapkan termasuklah lampu isyarat dan jalan raya di kawasan sebelum naik jambatan dan di seberangnya dapat disiapkan, ia boleh digunakan sebelum hari raya iaitu pada awal Jun.
"Kita harapkan semuanya berjalan lancar seperti yang dirancang. Jadi, ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan kesesakan pada musim perayaan nanti.
"Kalau tidak, pengguna hanya menggunakan Jambatan Sultan Mahmud atau melalui Durian Burung-Manir. Selepas ini, ada pilihan lain di sebelah sini," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Jambatan angkat itu mula dibina pada tahun 2014, membabitkan kos RM248 juta dan pembinaannya melibatkan laluan utama jambatan, empat menara, dan dua 'sky bridge'.
Dengan panjang keseluruhan 638 meter dan ketinggian 12.5 meter dari aras laut, jambatan itu menghubungkan muara selatan di pusat bandar Kuala Terengganu (Tanjung) dan muara utara di Seberang Takir.
Jambatan ikonik itu yang pertama seumpamanya di rantau ini dan bakal menjadi salah satu mercu tanda bandar raya ini serta negeri, merupakan antara komponen pembangunan Pusat Bandar Raya Kuala Terengganu (KTTC) yang sedang rancak dibangunkan.