CEO didakwa buat tuntutan Perkeso palsu

Iklan
Noorun Nashriah didakwa tujuh pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Perkeso bagi tuntutan insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM112,000, pada dua tahun lalu.

KUALA LUMPUR - Seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat yang mengendalikan program latihan, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas tujuh pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi tuntutan insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM112,000, dua tahun lalu.

Noorun Nashriah Ramli, 41, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

Iklan
Iklan

Mengikut semua pertuduhan, wanita itu didakwa memberikan invois bertarikh 9 Julai 2021 melalui seorang wanita kepada empat pegawai perkhidmatan pekerjaan pejabat Perkeso bagi menuntut insentif di bawah program tersebut berjumlah RM112,000.

Dia dituduh dengan niat memperdayakan Perkeso menerusi dokumen mengandungi pernyataan palsu mengenai Program Latihan Insentif Pekerja yang mana tuntutan program itu dibuat walaupun tidak dihadiri oleh peserta yang berdaftar dengan Perkeso di Menara Perkeso Putrajaya, antara 13 Julai hingga 1 Oktober 2021.

Iklan

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butir palsu itu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Pegawai Pendakwa SPRM, Mohammad Shaiful Nasir mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin RM80,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran sebulan sekali.

Iklan

Bagaimanapun, peguam, Lum Kok Kiong yang mewakili tertuduh merayu agar kadar ikat jamin dikurangkan dengan alasan dia perlu menyara dua anak dan ibu bapanya.

"Saya juga memohon agar pasport diserahkan kepada mahkamah selepas dia pulang daripada menunaikan umrah," katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Azura membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM35,000 dengan seorang penjamin serta memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan.

"Pasport diserahkan kepada mahkamah semasa sebutan kes pada 14 Februari ini," katanya.

Dalam pada itu, di dua mahkamah berasingan, pengusaha kantin sekolah, Amir Shariffuddin Haron, 56, dan pengusaha kedai makan, Farhan Taufik, 34, mengaku tidak bersalah masing-masing atas satu pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Perkeso bagi menuntut insentif di bawah program tersebut berjumlah RM78,700, dua tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh dituduh memberikan Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja (Hiring Insentive Program) atas nama Perusahaan As Hayana Services dan Perusahaan Frans F & B Enterprise melalui seorang lelaki kepada seorang pegawai perkhidmatan pekerjaan pejabat Perkeso bagi menuntut insentif tersebut.

Mereka dituduh dengan niat memperdayakan Perkeso menerusi dokumen yang mengandungi pernyataan palsu tentang nama pekerja baharu sedangkan senarai yang dinamakan itu bukan kakitangan dua syarikat berkenaan, pada 5 Mac dan 1 Jun 2021, di Wisma Perkeso, Jalan Tun Razak di sini.

Hakim Rozina Ayob membenarkan Amir Shariffuddin diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin, dengan syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah, dilarang ke luar negara dan melaporkan diri di pejabat SPRM di sini.

Sementara Hakim Suzana Hussin membenarkan Farhan dijamin RM8,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan yang sama.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 10 dan 14 Februari depan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Abd Muntaqim Abdul Aziz dan Ikhwan Zaudii Nordin.

Amir Shariffuddin diwakili peguam Hasmah Nordin manakala Farhan tidak diwakili peguam.

Pada 14 Julai 2022, media melaporkan SPRM mereman 37 individu bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif Program Penjana Kerjaya melibatkan nilai keseluruhan sebanyak RM100 juta.

Mereka terdiri daripada pemilik, pengarah, pengurus, pemilik saham syarikat, jurutera dan kakitangan eksekutif ditahan dalam Ops Hire yang dilancarkan di seluruh negara pada 13 Julai tahun lepas.

Pada Isnin, empat individu termasuk seorang CEO syarikat lain, mengaku tidak bersalah di tiga Mahkamah Sesyen di sini, atas enam pertuduhan serupa lebih RM500,000, bagi tahun 2021.