BALING - Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM750,000 bagi menaik taraf fasiliti ekopelancongan di Gua Sireh di sini melalui agensi pelaksana Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda).
Pengurus Besar Keda, Datuk Kamaruddin Abd Akib berkata, antara kemudahan yang bakal dinaik taraf termasuk laluan pejalan kaki sepanjang 400 meter dan pagar dalam gua bernilai RM398,000, pembelian van pelancong berjumlah RM132,000, penambahbaikan fasiliti dan pembelian peralatan gua, lesen hiburan, sewaan, cukai dan insurans bernilai RM66,000 dan kos operasi bernilai RM154,000.
"Antara yang akan diberi keutamaan ialah laluan pejalan kaki atau titi yang akan dinaik taraf dalam gua serta aspek pencahayaan bagi memastikan tahap keselamatan pengunjung terjamin di samping menjadikan suasana dalam gua lebih menarik.
"Kita jangka dalam bulan Mac akan laksanakan dan proses ini akan mengambil masa sedikit kerana bahan binaan perlu dibawa atau mendaki secara manual ke dalam gua," katanya kepada media selepas melawat Gua Sireh di sini pada Selasa.
Menurut Kamaruddin, lokasi itu dicadangkan untuk dimajukan melalui Projek Eko Pelancongan Warisan Alam dalam Program Desa Lestari Kampung Padang Che Mas yang diuruskan koperasi dan melibatkan penglibatan penduduk setempat.
Katanya, projek pembangunan berkonsepkan keindahan alam semula jadi di gua tersebut diharap menjadi hab pelancongan baharu di Kedah.
"Keda yakin dengan penambahan infra dan akses logistik ini, Gua Sireh akan menjadi pilihan pelancong berikutan keunikan dan keindahannya serta panorama di dalam gua yang sungguh menakjubkan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Koperasi Eko Pelancongan Gua Sireh Baling Berhad, Mohd Sazli Ibrahim berkata, keindahan Gua Sireh yang terletak lebih 10 kilometer dari pekan Baling merupakan tarikan pelancong tempatan dan luar negara berikutan keunikan dinding berwarna putih dan siling seakan-akan berbentuk tiga dimensi (3D).
"Sejak dibuka pada 2019, ia menerima sejumlah kira-kira 100 pengunjung sebulan dan lebih ramai pada musim cuti sekolah.
"Mempunyai ketinggian tidak sekata dan paling tinggi kira-kira 70 meter dan jarak sepanjang 400 meter.
"Selepas pendakian kira-kira 100 meter hingga ke pintu gua, pengunjung akan dapat melihat keindahan semula jadi yang terbentuk di siling dan dinding gua di sepanjang laluan masuk ke dalam gua, iaitu sejauh 400 meter yang akan memberikan satu pengalaman yang cukup menarik.
"Pengunjung dapat melihat batuan yang terbentuk secara semula jadi antaranya seakan-akan sireh junjung, perahu patah, bukit kristal, batu gong, gajah, burung kakak tua dan pelbagai lagi," katanya.
Jelasnya, gua yang terletak di Kampung Padang Che Mas, Mukim Pulai, Baling itu boleh memuatkan kira-kira 1,000 pengunjung dalam satu-satu masa.