Langkah kiri Pearly-Thinaah di Bukit Jalil

Iklan
Pearly (kiri) dan Thinaah terpaksa akur tewas kepada pasangan Bulgaria dalam saingan pusingan pertama Terbuka Malaysia di Bukit Jalil pada Selasa. - Foto Facebook BAM

[DIKEMAS KINI] BEREGU badminton wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah memulakan kejohanan Terbuka Malaysia 2023 dengan langkah kiri apabila tumpas kepada pasangan adik-beradik dari Bulgaria, Gabriela dan Stefani Stoeva di Bukit Jalil pada Selasa.

Dalam aksi yang berlangsung di Arena Axiata tersebut, pasangan nombor enam dunia itu tewas 'straight set' 19-21, 14-21 dalam tempoh 31 minit.

Iklan
Iklan

Kekalahan itu perit untuk diterima Pearly-Thinaah biarpun pernah mencipta sejarah muncul beregu wanita pertama negara menjuarai saingan Terbuka Perancis, Oktober tahun lalu.

Malah pencapaian pada edisi kali ini lebih hambar berbanding kejohanan lalu apabila terkandas di pusingan kedua selepas tewas di tangan beregu China, Zhang Shu Xian-Zheng Yu 19-21, 14-21.

Iklan

Beraksi sengit pada set pertama, namun Pearly-Thinaah gagal menyaingi ketangkasan Gabriela dan Stefani yang menang 21-19 dalam siri Jelajah Dunia Super 1000 itu.

Biarpun berada di ranking ke-14 dunia, Gabriela dan Stefani yang merupakan juara Terbuka Switzerland tenang mencatat kemenangan pada set kedua dengan keputusan 21-14.

Iklan

Kemenangan itu menebus kekecewaan Gabriela dan Stefani yang tewas kepada Pearly-Thinaah pada final Terbuka Switzerland 2021 dengan regu negara muncul juara.

Bagaimanapun di sebalik kekalahan mengejutkan itu, Pearly-Thinaah tekad bangkit menebus kekecewaan pada kejohanan Terbuka India dari 17 hingga 22 Januari ini.

Dalam pada itu, Thinaah mengakui pemain lawan berjaya memberi tekanan kepada mereka terutama di set kedua."Selepas ini kami akan lihat semula apa yang perlu dibaiki. Kekalahan ini sudah menjadi sejarah dan fokus untuk kejohanan seterusnya,” katanya.

Sementara itu, skrip berbeza buat beregu campuran, Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing apabila menghadiahkan kemenangan buat negara di hadapan ribuan penyokong sendiri.

Mereka yang mengungguli Cabaran Antarabangsa Malaysia bulan lalu melakar kejutan mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pasangan Jepun, Kyohei Yamahshita-Naru Shinoya 21-11, 15-21, 21-19.

Turut melakar kemenangan ialah pemain perseorangan lelaki profesional negara Liew Daren yang menewaskan Toma Junior Popov dari Perancis 21-15, 14-21, 21-17 selepas pertarungan 59 minit.

Bagaimanapun, kemenangan itu dibayar dengan harga tinggi apabila dia mungkin terpaksa menarik diri akibat kecederaan betis kanan yang dialaminya sejak sebulan lepas.

Pemenang pingat gangsa Kejohanan Badminton Dunia 2018 itu bagaimanapun berharap kecederaan itu mampu sembuh sepenuhnya bagi meneruskan perjuangan di hadapan peminat badminton tanah air.