ALOR SETAR - UMNO Kedah berharap semua perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) mengetepikan segala perbezaan dan bersatu hati agar tumpuan dapat diberikan kepada agenda membina kembali parti itu.
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, semua pihak hendaklah bermuafakat bagi memastikan strategi berkesan dapat dirangka untuk kembali memenangi hati rakyat.
Menurutnya, biarpun ia merupakan agenda yang sukar, usaha itu harus dimulakan dengan kadar segera.
"Kita tidak boleh terlalu lama meratapi kekalahan PRU15, kita harus segera menyusun strategi untuk bina semula kekuatan parti. PAU adalah pentas yang sesuai untuk perhalusi perkara ini,” katanya.
Dalam pada itu, Shaiful Hazizy berharap mesej yang akan disampaikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dapat merungkaikan pelbagai persepsi.
"Kita jangkakan Presiden akan jelaskan hala tuju tentang pelbagai perkara, khususnya mengenai Kerajaan Perpaduan dan Pilihan Raya Negeri (PRN),” ujarnya.
Menurutnya lagi, di peringkat negeri, pelbagai usaha turut dilakukan untuk mengukuhkan kembali parti, antaranya menerusi siri jelajah Bina Semula UMNO Kedah.
"Untuk Kedah, kita beri penumpuan untuk kembali membina parti menerusi program tersebut yang kini telah selesai di 10 kawasan Parlimen,” katanya lagi.