Kuasa perundangan, kawal selia gas diserah kepada Sabah

Iklan

SHAH ALAM - Kuasa perundangan dan pengawalseliaan aktiviti pembekalan gas di Sabah diserahkan kepada negeri tersebut berkuat kuasa pada Selasa selaras dengan hasrat kerajaan, kata Suruhanjaya Tenaga (ST).

Dalam satu kenyataan pada Selasa, ST memaklumkan penyerahan itu membabitkan tiga perintah yang telah diwartakan pada 4 Januari lalu antaranya Perintah Negeri-Negeri Borneo (Kuasa-Kuasa Perundangan) (Pindaan) 2023 [P.U.(A) 2/2023] bagi memberikan kuasa perundangan kepada negeri Sabah berhubung dengan pembekalan gas.

Iklan
Iklan

Dua lagi adalah Perintah Bekalan Gas (Penggantungan Kuat Kuasa Akta bagi Sabah) 2023 [P.U.(A) 3/2023] bagi menggantung pemakaian Akta Bekalan Gas 1993 [Akta 501] di negeri Sabah dan Perintah Suruhanjaya Tenaga (Penggantungan Kuat Kuasa Akta bagi Sabah) 2023 [P.U.(A) 4/2023] bagi menggantung pemakaian Akta Suruhanjaya Tenaga [Akta 610] di negeri Sabah.

"Susulan daripada ketiga-tiga perintah yang akan berkuat kuasa pada 10 Januari 2023, kuasa perundangan dan pengawalseliaan berhubung dengan bekalan gas di Sabah di bawah Akta 501 dan Akta 610 tidak lagi tertakluk di bawah Suruhanjaya Tenaga (ST) dan kerajaan Persekutuan.

Iklan

"Kuasa perundangan dan pengawalseliaan tersebut diserahkan kepada negeri Sabah iaitu di bawah Suruhanjaya Tenaga Sabah,” menurut kenyataan itu.

ST menambah, kuasa suruhanjaya tersebut adalah untuk mengawal selia aktiviti pembekalan gas dan menguatkuasakan undang-undang pembekalan gas merangkumi antaranya adalah pelesenan bagi pengimportan ke terminal penggasan semula dan aktiviti penggasan semula.

Iklan

Selain itu, ia turut meliputi pelesenan bagi pengiriman, pengangkutan, pengagihan, peruncitan atau penggunaan gas dalam pembekalan melalui talian paip dan perkara yang berkaitan, serta pembekalan gas pada harga munasabah.

Pengawalseliaan itu turut melibatkan kawalan talian paip, pepasangan dan perkakas bekalan gas mengenai perkara yang berhubungan dengan keselamatan orang dalam pengagihan, peruncitan atau penggunaan gas dan bagi maksud yang berkaitan dengannya.

"Dalam hal ini, kuasa perundangan dan pengawalseliaan aktiviti pembekalan gas di Sabah adalah tertakluk di bawah Enakmen Bekalan Gas 2023 dan Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023 bermula pada 10 Januari 2023,” jelas kenyataan itu lagi.

ST berkata, mana-mana pihak yang memerlukan penjelasan lebih lanjut boleh menghubungi pihak Suruhanjaya Tenaga Sabah melalui emel careline@ecos.gov.my atau telefon di 088-205574 bagi sebarang perkara yang berhubungan pembekalan gas mengikut perundangan di Sabah.