DUN Sabah: Kedudukan ADUN bergantung kepada kabinet baharu

Iklan
Kadzim (kanan) bersama Hajiji (dua dari kanan) ketika hadir Sidang DUN Khas di DUN Sabah, Kota Kinabalu pada Selasa.

KOTA KINABALU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan dipindahkan ke blok pembangkang sekiranya ada pembatalan watikah pelantikan, kata Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim M Yahya.

Menurut Kadzim, kedudukan ADUN di dalam DUN juga tertakluk jika ada kabinet baharu di mana mereka tidak tersenarai di dalamnya.

Iklan
Iklan

"Kedudukan itu tertakluk kalau ada kabinet baharu, mereka tidak termasuk dalam kabinet dan ada pembatalan watikah pelantikan maka mereka akan dipindahkan ke sebelah kiri.

"Kita hanya ubah yang ADUN biasa saja, yang pihak Pakatan Harapan (PH) sudah beransur ke hujung sebelah sana. PH di 'backbenchers'," katanya kepada pemberita ketika ditanya berkaitan kedudukan terkini ADUN Parti Warisan (Warisan) dan sebahagian ADUN UMNO selepas Sidang DUN Sabah pada Selasa.

Iklan

Dalam Sidang DUN Khas kali ini hanya 44 ADUN yang hadir termasuk Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Ditanya mengenai ADUN Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin adakah masih berada di kedudukan Timbalan Ketua Menteri, Kadzim berkata, itu bergantung jika ada rombakan kabinet dilakukan.

Iklan

Beliau bagaimanapun sekali lagi diminta menjelaskan lebih lanjut kedudukan Bung Moktar di blok pembangkang dan berkata, kedudukan ADUN disusun untuk Sidang DUN yang diadakan pada Selasa.

"Ia untuk memudahkan Sidang DUN hari ini, jadi kena buat susunan untuk hari ini. Takkan mahu Dewan itu kosong sana, sini macam gigi rompong," katanya.

Ditanya sama ada kedudukan itu sementara sahaja atau sebaliknya, Kadzim menyatakan bahawa keputusan bukan terletak di tangannya.

"Sama ada ia membabitkan mereka, saya tidak cakap mereka terlibat atau tidak, ia tertakluk kepada rombakan kabinet yang akan beri kesan kepada kedudukan mereka.

"Itu saja saya boleh cakap sebab bukan saya yang boleh putuskan mereka kekal atau tidak sebab lantikan kabinet adalah prerogatif Ketua Menteri dan bukan Speaker. Speaker hanya atur kedudukan di Dewan," katanya.

Beliau turut mendedahkan kehadiran ADUN kali ini adalah yang paling kurang jumlahnya dalam tempoh dua tahun DUN bersidang.

"Dalam dua tahun ini, ini yang paling kurang kehadiran. ADUN Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak ada memohon untuk tidak hadir.

"Surat dihantar sebelum hari ini. ADUN lain, saya tidak tahu kenapa mereka tidak hadir dan tidak hantar surat. Saya tidak boleh cakap bagi pihak mereka, apa yang saya tahu, saya tidak terima sebarang permohonan untuk tidak hadir Sidang DUN.

"Jika tidak hadir kena maklum Speaker. (Notis tidak hadir dihantar) bila-bila masa saja, pagi ini pun boleh jika ada alasan untuk tidak hadir sebab jika dia tiba cirit-birit takkan mau tahan dia pagi tadi," katanya.

Tambah beliau, sebarang sokongan di dalam DUN harus direkodkan dan bukan menerusi kenyataan yang dikeluarkan untuk media.

"Saya tidak tahu, semua sokongan mesti direkodkan dalam hansard bukan di akhbar. Sebab apa mereka katakan tidak akan direkodkan.

"Saya tidak pernah menolak sebarang permohonan tidak hadir sama ada alasan yang baik. Bila mereka mohon, saya luluskan sebab bukan kerja saya untuk semak betul atau tidak alasan mereka itu. Bila mereka hantar permohonan untuk tidak hadir, saya sentiasa luluskan," katanya.