Isu harga makanan kantin: 'Wan Saiful buka pekung sendiri'

Iklan
Mohamad Nazri

SHAH ALAM - Gerakan Belia 4B Malaysia membidas kenyataan yang dikeluarkan Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berhubung isu harga makanan di kantin sekolah yang disifatkan tidak membantu, sebaliknya hanya membuka pekung sendiri.

Setiausaha Agungnya, Mohamad Nazri Abdul Latiff turut mempersoalkan tujuan utama kenyataannya yang kononnya kerajaan sekarang tidak kompeten menjaga nasib rakyat.

Iklan
Iklan

Sedangkan katanya, selama lebih daripada 32 bulan jawatan Menteri Pendidikan diisi oleh individu daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), tiada apa-apa langkah proaktif yang diambil untuk menangani perkara itu.

"Adakah ia hanya untuk melarikan diri daripada tanggungjawab yang diberikan sebelum ini, sedangkan isu kenaikan harga barang telah wujud sejak beberapa tahun lepas.

Iklan

"Lagipun, peningkatan harga makanan yang sedang berlaku tidak meliputi semua jenis menu makanan. Harga bagi mi goreng, nasi goreng dan kuih-muih masih dikekalkan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Terdahulu, Wan Saiful yang juga Ketua Penerangan Bersatu memberitahu, peningkatan harga bahan mentah di pasaran selain kesukaran untuk mendapatkan bekalan seperti telur, gula dan minyak masak adalah punca berlakunya peningkatan 50 peratus harga makanan di kantin sekolah.

Iklan

Beliau turut menyatakan kononnya Menteri Pakatan Harapan-Barisan Nasional tidak kompeten menjaga nasib rakyat dan gagal merasai denyut nadi kesusahan rakyat.

Tambah Mohamad Nazri, Kementerian Pendidikan telah menyemak garis panduan harga bagi memudahkan pihak sekolah dalam membuat semakan tetap harga makanan kantin.

"Garis panduan harga dilaksanakan bagi memastikan makanan kantin sekolah mampu dibeli oleh pelajar dan peniaga memperoleh pendapatan sewajarnya.

"Oleh itu, kami merasakan perkara tersebut perlu diberi perhatian lanjut kerana sudah beberapa tahun harga bahan mentah di pasaran berubah tetapi kenapa baru sekarang isu ini timbul?” jelasnya.

Mohamad Nazri turut menggesa kerajaan melalui Kementerian Pendidikan untuk mengenal pasti kontraktor yang dipilih untuk mengoperasikan kantin sekolah atas kapasiti mesra menteri sebelum ini bagi tujuan mewujudkan satu sistem pengurusan lebih telus dan efektif.

"Pada hemat kami, untuk memastikan persekitaran pembelajaran yang selesa, usaha sama daripada semua pihak diperlukan dan bukannya bersikap untuk membaling batu dan sembunyi tangan," ujarnya.