Harus ada tempoh bertenang di Sabah - Ahmad Zahid

Iklan
Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Harus ada tempoh bertenang di Sabah, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Malah Timbalan Perdana Menteri itu turut mengakui telah menyarankan formula untuk menyelesaikan masalah di Sabah.

Iklan
Iklan

"Saya dan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju bahawa harus ada tempoh bertenang. Jadi dalam keadaan bertenang ini pun masih ada perkara-perkara yang berlaku tetapi yang penting matlamat Perdana Menteri menyarankan diwujudkan Kerajaan Perpaduan di Sabah yang akan melibatkan semua parti-parti yang ada di peringkat pusat.

"Untuk Sabah tentunya tidak begitu sukar Kerajaan Perpaduan diwujudkan, soal penerimaan itu adalah aspek yang perlu kita santuni terlebih dahulu.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar pada Sesi Sembang Santai Bersama Media Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Menara Kuala Lumpur pada Selasa.

Ahmad Zahid berkata, demokrasi bukan hanya tentang pilihan raya semata-mata, sebaliknya kesepakatan antara parti-parti politik berhasrat memberi kesejahteraan kepada rakyat harus diterjemahkan dan dilaksanakan.

Iklan

"Maka saya harap pembangunan dan kebajikan serta kemudahan rakyat harus diberi keutamaan dan jika politiking jadi agenda, saya yakin soal yang saya katakan tidak dapat diberi keutamaan.

"Saya minta semua pihak berlapang dada dan berfikiran terbuka dengan hasrat Perdana Menteri untuk membentuk Kerajaan Perpaduan di Sabah," katanya.

Ahmad Zahid berkata, beliau akan bertemu dengan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam waktu terdekat.

"Ada beberapa perincian akan kita bincangkan dan Insya-ALLAH, saya jumpa beliau,” ujarnya.

Anwar pada Isnin memberi restu kepada Datuk Seri Hajiji Noor untuk terus menjadi Ketua Menteri Sabah.

Jelasnya, beliau memberi ruang kepada Hajiji untuk mencari formula terbaik dalam usaha menyelesaikan kemelut pergolakan politik yang berlaku di negeri itu.

Sebelum ini, krisis politik di Sabah kembali hangat selepas Bung mengumumkan keputusan menarik sokongan terhadap Ketua Menteri.

Jelas beliau, keputusan hilang kepercayaan itu dicapai selepas mengadakan mesyuarat bersama ahli-ahli parti itu.