MOSCOW - Jumlah wartawan yang diserang semasa membuat liputan mengenai protes yang tercetus di Brazil meningkat kepada 14 orang, menurut Kesatuan Wartawan Daerah Persekutuan negara itu.
"Kesatuan Wartawan Daerah Persekutuan menerima laporan bahawa 14 petugas media diserang... pada Ahad," menurut kenyataan itu.
Antara wartawan yang cedera adalah petugas media dari Washington Post, Agensi Anadolu, Reuters dan Agence France-Presse (AFP), manakala kebanyakan peralatan mereka turut dicuri, lapor Sputnik.
Penyokong bekas Presiden Brazil Jair Bolsonaro, memprotes keputusan pilihan raya presiden 2022 dengan menyerbu bangunan Kongres Nasional, serta Palacio do Planalto, iaitu antara kediaman rasmi Presiden dan bangunan Mahkamah Agung di ibu negara Brazil pada Ahad.
Polis berjaya menguasai semula bangunan-bangunan berkenaan pada hari sama dan menahan lebih 400 orang.
Pasukan keselamatan di Brasilia pada Isnin melancarkan operasi untuk menyuraikan protes berhampiran ibu pejabat angkatan tentera Brazil. - Bernama