BENTONG - Dua treler dan sebuah lori terlibat dalam kemalangan di Kilometer (KM) 42.7 Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superitendan Zaiham Mohd Kahar memberitahu, kejadian kira-kira jam 6.05 pagi itu terdiri lori yang membawa muatan bingkai aluminium serta kayu manakala treler masing-masing membawa muatan kapur dan besi buruk melibatkan tiga pemandu dan seorang kelindan berusia 20 hingga 45 tahun.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila salah sebuah treler semasa menuruni bukit mengalami kerosakan pada brek.
"Treler itu telah melanggar belakang lori yang berada di lorong sebelah kiri menyebabkan kenderaan tersebut terbalik.
"Kemudian treler tersebut telah melanggar bahagian belakang sebelah kanan treler lain yang berada di hadapan sebelum hilang kawalan dan terbabas terlanggar besi penghadang jalan sebelah kiri jalan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Ujar beliau, kesemua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
"Hanya seorang pemandu treler berusia 45 tahun yang membawa muatan kapur sahaja yang menerima rawatan di Hospital Bentong. Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," tambah beliau.
Dalam pada itu, Zaiham menasihatkan semua pengguna sentiasa memandu dengan berhati-hati dan berhemah serta memastikan kenderaan diselenggara dengan baik serta selamat.
"Ini memandangkan ia adalah kes kemalangan kelima tahun ini sehingga 10 Januari," jelas beliau.