'PN kini taring parti Melayu'

Iklan
Nazrul ketika menjadi panelis pada program Wacana Sinar Harian siri 378 bertajuk ‘Parti Melayu hilang taring’ yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa. - FOTO MOHD HALIM ABDUL WAHID

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Parti berasaskan Melayu masih berupaya untuk menarik sokongan pengundi kaum tersebut di sebalik perubahan landskap politik yang berlaku di dalam negara.

Pengarah Penerangan Pemuda Pas, Nazrul Nazir berkata, perkembangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan trend peralihan undian orang Melayu terhadap parti dipilih untuk mewakili mereka.

Iklan
Iklan

Katanya, berdasarkan keputusan pada pilihan raya baru-baru ini, UMNO kini tidak lagi mendominasi sokongan orang Melayu, sebaliknya ia digantikan dengan Perikatan Nasional (PN) terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.

"Kalau sebelum ini Pas dapat tidak lebih 20 kerusi atau paling tinggi 26 pada tahun 1999, tapi dalam PRU15 Pas dapat 43.

Iklan

"PN dapat keseluruhan 74 kerusi dan kita boleh katakan semua kawasan Melayu itu beralih kepada PN.

"Maknanya taring (sokongan) itu yang sebelum ini ada pada UMNO sudah beralih kepada PN," katanya ketika menjadi panelis pada Wacana Sinar ke-378 bertajuk 'Parti Melayu hilang taring’.

Iklan

Hadir sama Exco Puteri UMNO, Fadwah Anuwar dan penganalisis politik, Iswardy Morni di Kompleks Karangkraf di sini pada Selasa.

Nazrul berkata, trend peralihan sokongan orang Melayu itu dilihat bermula pada tahun 2020 iaitu selepas berlakunya perubahan kepimpinan kerajaan yang menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri.

Katanya, situasi tersebut antara lain berpunca daripada beberapa tindakan kerajaan di bawah Pakatan Harapan (PH) sebelum itu yang dilihat menganggu-gugat sensitiviti orang Melayu dan Islam selepas memenangi PRU14.

"Ini menyebabkan mereka rasa tidak selesa dengan kerajaan ketika itu dan peralihan kerajaan pada tahun 2020 adalah satu rahmat pada mereka walaupun berlaku dalam keadaan kontroversi," ujarnya.

Nazrul menambah, punca lain turut menyumbang kepada peralihan sokongan berkenaan adalah ketidakpercayaan orang Melayu terhadap UMNO yang terpalit dengan imej negatif seperi rasuah dan kleptokrasi.

Tegasnya, faktor tersebut juga diyakini lebih mempengaruhi pengundi Melayu pada PRU15 berbanding isu lain seperti perkauman dan agama.

"Bukanlah faktor perkauman itu yang memenangkan PN, tetapi lebih kepada imej PN dan Pas yang lebih serius dalam membawa agenda Melayu dan Islam serta lebih dilihat bersih dan stabil menyebabkan peralihan undi itu pergi kepada PN," ujarnya.