PUTRAJAYA - Pegawai Pasukan Gerakan Am bersetuju dengan cadangan bahawa tiada prosedur operasi standard (SOP) berhubung dengan pengendalian pendatang asing tanpa izin (PATI).
Inspektor Mohd Mossadique Azue yang merupakan saksi ketiga membuat pengakuan itu selepas ditanya oleh Pegawai Pengendali Khairul Anuar Abd Halim mengenai perkara itu.
"Saya bersetuju," katanya sedemikian dalam prosiding pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung penemuan penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian.
Terdahulu, Timbalan Pengerusi RCI, Tan Sri Norian Mai membangkitkan persoalan terhadap tindakan pegawai polis itu yang tidak mengetahui bilangan bangsa PATI yang ditahan.
Khairul Anuar: Apakah bangsa PATI yang ditangkap?
Saksi: Setengah daripadanya Bangladesh, setengah daripadanya Rohingya.
Norian: Berapa bilangan Bangladesh dan Rohingya?
Saksi: Tak pasti.
Norian: Kenapa tidak pasti? Awak sebagai inspektor sepatutnya tahu dengan lebih terperinci mengenai kemasukan orang asing.
Saksi: Tidak menjawab pertanyaan.
Dalam prosiding itu, Mohd Mossadique berkata, eksibit yang dirampas dalam insiden tersebut berada dalam simpanannya.
"Saya serahkan kepada Pegawai Tatatertib, Asisten Superintendan Azizie Mohd seminggu selepas 19 Januari 2015," katanya.
Katanya sepanjang dalam simpanannya, kesemua eksibit diletakkan di dalam kotak yang tersorok.
"Di pos saya ES9, tiada kemudahan tempat penyimpanan yang berkunci, jadi saya minta Azizie untuk simpankan kerana ada loker berkunci," katanya.
Pada prosiding itu, Azizie yang merupakan saksi keempat mengakui menyimpan barang eksibit bukan di bawah skop tugasannya.
"Mungkin dia (Mohd Mossadique) mempercayai saya kerana saya Pegawai Tatatertib," katanya.
Azizie turut memaklumkan bahawa dia diperintahkan oleh Pegawai Penyiasat, Inspektor Shah untuk bertanyakan mengenai keberadaan eksibit tersebut.
"Sebelum jumpa Mohd Mossadique, Inspektor Shah meminta saya bertanyakan kepada anggota terlibat sama ada ada atau tidak eksibit yang dirampas. Sekiranya ada, beliau minta saya memberikan kepadanya untuk membantu siasatan," katanya.
Eksibit yang dirampas adalah sebuah telefon bimbit jenama Nokia, tiga kad sim, cakera padat, sebuah buku bertulisan Thailand dan sekeping kad dipercayai lesen memandu Thailand.