Peluang Messi beraksi Piala Dunia pada usia 39 tahun

Iklan
Lionel Messi. Foto: AFP
PENGENDALI Argentina, Lionel Scaloni menegaskan pintu akan sentiasa terbuka untuk Lionel Messi beraksi di Piala Dunia 2026.

Bulan lalu, Messi berjaya menjulang trofi yang sangat diingininya selepas Argentina muncul juara Piala Dunia Qatar 2022 menewaskan Perancis dalam perlawanan akhir.

Penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu menjaringkan dua gol dalam keputusan seri 3-3 dan turut menjaringkan gol penentuan sepakan penalti ketika Argentina menumbangkan Les Bleus.

Messi, 35, juga menjadi orang pertama memenangi dua Bola Emas dalam penampilan di Piala Dunia kerana inspirasinya kepada pasukan menamatkan kemarau 36 tahun menjulang trofi penuh berprestij itu.

Dia akan menghampiri usia 40 tahun apabila Argentina berusaha mempertahankan kejuaraan mereka dalam kejohanan yang akan diadakan di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico pada 2026.

"Saya rasa Messi boleh ke Piala Dunia seterusnya. Ia akan banyak bergantung pada apa yang dia mahu, sama ada dia rasa selesa untuk meneruskannya.

Dalam masa sama, Scaloni tidak menyifatkan kejayaan Piala Dunia adalah penting untuk mengukuhkan label Messi antara pemain terbaik sepanjang zaman.

"Saya rasa tidak perlu menjadi salah seorang yang terhebat. Anda sentiasa meminta lebih daripada seorang pemain seperti Messi.

"Saya gembira untuknya dan untuk negara," katanya.