Rombakan kabinet kukuhkan kerajaan Sabah - Hajiji

Iklan
Hajiji

KOTA KINABALU - Rombakan kabinet adalah sesuatu yang perlu dan bertujuan mengukuhkan kerajaan negeri sekarang, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata, untuk tujuan itu pihaknya memerlukan satu pasukan yang kuat.

Iklan
Iklan

"Menyedari keperluan untuk membentuk satu pentadbiran inklusif, saya telah memasukkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pakatan Harapan (PH) ke dalam kabinet, sebagai tambahan selain wakil dari UMNO/BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

"Adalah penting bagi kerajaan negeri di bawah pimpinan saya dapat berfungsi sebagai satu pasukan yang bersatu padu, dengan berkongsi aspirasi yang sama yang dibina atas kepercayaan dan saling menghormati," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, kerajaan negeri berazam untuk mempunyai pemimpin yang mempunyai iltizam yang sehaluan dan menghargai setiap keperluan bagi memastikan usaha membangunkan negeri berjalan dengan lancar dan tanpa sebarang gangguan seperti yang diharapkan oleh rakyat.

"Kestabilan politik adalah penting untuk mencapai matlamat ini.

Iklan

"Bersama satu pasukan yang kukuh, kami akan memastikan pelaburan dinamik kerajaan negeri dapat dikekalkan, seterusnya meningkatkan keyakinan pelabur di samping dapat menarik lebih ramai lagi untuk datang melabur ke Sabah.

"Kita perlu memastikan momentum pembangunan kita terus maju ke hadapan dan seterusnya dapat memenuhi janji-janji pilihan raya kita kepada rakyat dan negeri," tegasnya.