SEREMBAN- Seorang ibu merayu dua orang anaknya yang dipercayai melarikan diri dari kediamannya di Taman Jujur di sini segera pulang ke pangkuannya semula.
Ibunya, Hasina Begum Hassan, 31 berkata, anaknya Nurzahidah, 14 dan Nurhidayah Zahid Hussain, 8 disedari hilang Ahad lalu selepas dia pulang ke rumah kira-kira jam 1.30 petang.
"Sebelum ini ada berlaku perselisihan faham antara kami dan berkemungkinan ianya antara punca mereka berbuat demikian.
"Bagaimanapun, apa yang berlaku itu sekadar nasihat saya sebagai ibu yang mahukan terbaik untuk anak-anak. Tiada niat lain kerana saya sayangkan mereka," katanya ketika ditemui di kediamannya hari ini.
Hasina berkata, laporan polis berhubung kehilangan dua daripada lima beradik itu telah dibuat di Balai Polis Sikamat pada Isnin lalu.
"Hari ini merupakan hari ke empat mereka hilang, usaha mengesannya sudah dibuat termasuk kawasan sekitar Seremban, kenalan terdekat dan keluarga, namun semuanya menemui jalan buntu.
"Pulanglah nak, mama janji tidak akan marah. Mama tak boleh kehilangan kamu berdua. Kamu tak rindu mama?," katanya.
Dia begitu bimbang akan keselamatan anaknya itu susulan mereka berdua tidak mempunyai kewangan yang cukup untuk bergerak keluar dari Negeri Sembilan.
"Saya hantar mesej, namun mereka tidak respons dengan itu saya merayu bantuan orang ramai mengesan dua anak perempuan saya dengan menghubungi saya di talian 017-6141653," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Rosli Ishak ketika dihubungi mengesahkan laporan kehilangan berkenaan dan siasatan masih dilakukan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kehilangan dua remaja itu diharap dapat menghubungi balai polis terdekat," katanya.