Bung Moktar dakwa pelantikan TKM Sabah, menteri tidak wakili UMNO

Iklan
Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin -Foto Bernama

KOTA KINABALU - Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mendakwa pelantikan dua portfolio menteri baharu termasuk Timbalan Ketua Menteri, tidak mewakili UMNO dan tidak diiktiraf oleh UMNO Sabah.

Bung Moktar berkata, keputusan itu dilihat membelakangkan parti dan mereka hanya mewakili individu untuk kepentingan diri masing-masing tanpa memikirkan masa depan parti secara menyeluruh.

Iklan
Iklan

"Pelantikan kabinet baharu melibatkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO ini tidak mewakili parti dan kita tidak membuat sebarang pengiktirafan berkenaannya.

"Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor juga tidak boleh mengatakan atau mengiktiraf mereka ini mewakili UMNO dalam barisan kabinetnya," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Sebelum itu, ADUN Tanjung Keramat Datuk Ir Shahelmey Yahya dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Sabah yang baharu manakala ADUN Sugut, Datuk James Ratib dilantik sebagai Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah bagi menggantikan Shahelmey.

Kedua-dua termasuk tiga lagi ADUN UMNO lain sebelum ini tidak menyertai gerakan Bung Moktar sebagai Pengerusi BN Sabah untuk menarik semula sokongan Hajiji sebagai Ketua Menteri.

Iklan
Sementara itu, Bung Moktar berkata, pihaknya sedang membawa perkara berkenaan untuk dihadapkan kepada lembaga disiplin parti kerana membelakangkan keputusan UMNO-BN Sabah.

"Kita akan berbincang dengan Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) untuk mengambil sebarang tindakan selanjutnya," katanya.

Dalam masa sama, beliau turut menjelaskan bahawa dengan adanya kabinet baharu itu, Hajiji sekaligus memperlihatkan sikap membelakangkan pandangan Perdana Menteri untuk menubuhkan satu kerajaan perpaduan.

"Ketua Menteri nampaknya membelakangkan pandangan Perdana Menteri untuk menubuhkan kerajaan perpaduan di Sabah, perlu diingat pembentukan kerajaan Pusat, BN merupakan penyumbang kepada kerajaan Perpaduan.

"Saya juga berharap Ketua Menteri bersikap adil dengan rakan-rakan dalam kabinet tanpa melibatkan campur tangan secara langsung dalam pentadbiran Kementerian masing masing.

"Jangan hanya mengaut keuntungan dan rakyat diabaikan, buatlah perubahan untuk rakyat dan negeri Sabah," katanya.

Sehubungan itu, Bung Moktar berkata, UMNO Sabah bersedia untuk menjadi pembangkang dan akan memainkan peranan secara berkesan.