Bekas eksekutif Petronas dituduh rasuah, AMLA RM9.65 juta

Iklan
Mohd Amal didakwa di Mahkamah Sesyen di Shah Alam atas 41 pertuduhan rasuah dan lima pengubahan wang haram berjumlah RM9.65 juta berhubung kerja-kerja penyelenggaraan. - Foto Bernama --fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

SHAH ALAM - Seorang bekas eksekutif (Pembinaan) Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) didakwa lagi di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas 41 pertuduhan rasuah dan lima pengubahan wang haram berjumlah RM9.65 juta berhubung kerja-kerja penyelenggaraan.

Mohd Amal M. Razalan, 36, bapa kepada dua anak itu mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Iklan
Iklan

Bagi pertuduhan pertama hingga ke-41, tertuduh didakwa menerima kesemua suapan tersebut berjumlah RM9.4 juta daripada empat individu iaitu Ketua Pegawai Operasi Synergy Spectular Sdn Bhd, Mohd Hakimin Mohd Zubir; Pengarah Faltech Engineering Sdn Bhd, Faisol Mustapha Idris; Pengarah Majestika Sdn Bhd, Mustaza Zawawi dan Pengurus Projek SAP Sdn Bhd, Robert Khoo melalui cek serta pindahan dalam talian dari akaun Maybank Berhad milik beberapa syarikat menerusi MGV Energy Sdn Bhd.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu dengan persubahatan bersama pengarah syarikat MGV Energy, Muhammad Nazreen Abd Hamid sebagai upah tertuduh melakukan apa-apa transaksi yang berkaitan dengan tugasnya iaitu memperakukan kira-kira lebih 50 'Job Completion Ticket' kepada PCSB serta membantu Faltech Engineering mendapatkan kerja-kerja ‘Provision Of Civil & Structural Maintenance Services For PCSB’.

Iklan

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 28 (1) (c) dan boleh dihukum dengan Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan mengikut Subseksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001, yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Iklan

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di beberapa cawangan Maybank dan Hong Leong Bank di Shah Alam, Petaling Jaya serta Puchong, dekat sini antara 29 Ogos 2018 dan 18 Mac 2022.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon jaminan RM200,000 hingga RM300,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.

"Apa bentuk jaminan yang dikenakan seharusnya mencerminkan tahap keseriusan kesalahan dan jumlah jaminan yang ditawarkan itu adalah munasabah," katanya.

Peguam Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili Mohd Amal memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya telah dikenakan jaminan RM180,000 pada 4 Januari lepas di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi lebih 40 pertuduhan.

"Saya mohon mahkamah mengambil kira semua aset anak guam saya telah dibekukan, penjamin perlu mencari sumber untuk membayar jaminan.

"Anak guam saya juga adalah penanggung utama keluarga, dia menanggung isteri, dua anak dan adik-beradiknya selain bapanya kini menghidap penyakit lumpuh kekal," katanya.

Menurutnya, tertuduh juga telah ditamatkan perkhidmatan dengan Petronas sejak Mei tahun lepas selain memberi kerjasama baik dengan pihak SPRM sepanjang siasatan dijalankan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 berserta seorang penjamin dengan RM70,000 dibayar pada Rabu dan selebihnya sebelum tarikh sebutan semula kes pada 30 Januari ini.

Pada 4 Januari lepas, lelaki itu didakwa atas 37 pertuduhan rasuah dan enam pengubahan wang haram melibatkan wang berjumlah lebih RM6 juta. - Bernama