SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor menyifatkan hantaran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baru Klang, Datuk Teng Chang Khim di laman Facebooknya mengaitkan isu arak dengan solat adalah biadab.
Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, hantaran tersebut jelas menunjukkan Chang Khim sengaja memainkan sentimen agama dengan memperlekehkan umat Islam serta solat.
"YB Teng Chang Kim nampak gaya 'banyak masa kosong' dengan menyibukkan diri dalam isu berkaitan arak sekalipun ia di luar negeri Selangor.
"Sedangkan isu arak ini jelas perkara mendatangkan kerosakan lebih besar ditambah lagi dengan isu-isu kemalangan jalan raya sehingga ada yang terkorban disebabkan kes mabuk," kata Mohamed Sukri dalam kenyataannya pada Rabu.
Kenyataan Mohamed Sukri itu juga bagi mempertahankan kenyataan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan yang sebelum ini membantah penjualan arak secara terbuka di ruang legar sebuah pusat beli-belah di Seberang Jaya di Pulau Pinang.
Muhammad Fawwaz turut memuat naik video pertemuannya dengan pihak pengurusan pusat beli-belah tersebut di Facebooknya.
Dalam pada itu, Mohamed Shukri berkata, pihaknya menyokong dan mempertahankan tindakan Muhammad Fawwaz kerana itu juga antara yang dilakukan Pemuda Pas Selangor dalam isu-isu berkaitan arak dan kes mabuk sama ada membantah, mengkritik serta memberikan solusi.
"Isunya ialah penjualan arak secara terbuka dan inilah yang ditentang, sama ada berbentuk penjualan mahupun pesta yang dianjurkan dan sebab itu Pemuda Pas Selangor malah seluruh negara pasti akan bangkit menentang hal yang sama.
"Sebagaimana YB Teng Chang Kim sanggup 'merentas negeri' dengan hantaran yang biadab lagi celopar kerana 'sayang sangat' pada arak, maka kami Pemuda Pas Negeri Selangor juga bangkit mempertahankan YB Muhammad Fawwaz atas tindakannya dan akidah yang satu.
"Malunya negeri Selangor kerana sikap YB (Chang Kim) ini yang celopar, biadab serta memperlekehkan solat. Mana pergi Exco lain yang beragama Islam dalam kerajaan negeri Selangor yang lain untuk tegur," soalnya dalam kenyataan tersebut.
Tambahnya, sudah jelas dalam banyak kenyataan media sama ada tulisan atau lisan sebelum ini bahawa arak hanya lebih membawa kemudaratan sama ada moral, sahsiah, nyawa malah ekonomi negara.
Katanya, akal yang waras pasti tidak menerima arak itu sesuatu yang membawa kebaikan yang banyak.