JKNS rampas kosmetik tidak bernotifikasi bernilai RM58,000

Iklan
Antara produk-produk kosmetik yang disyaki tidak bernotifikasi yang dirampas di sebuah premis perniagaan di Shah Alam. - Foto ihsan JKNS

SHAH ALAM - Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) merampas puluhan kotak kosmetik yang tidak mempamerkan nombor notifikasi daripada Kementerian Kesihatan (KKM) bernilai RM58,000 di sebuah premis perniagaan, di sini pada minggu lepas.

Pengarahnya, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, rampasan itu dibuat hasil serbuan oleh Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) JKNS di premis terbabit.

Iklan
Iklan

Katanya, serbuan itu dilaksanakan selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang ramai tentang perniagaan pengeluaran kosmetik yang disyaki tidak bernotifikasi dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) KKM.

Sha'ari berkata, modus operandi sindiket berkenaan ialah memasarkan keluaran kosmetik tidak bernotifikasi itu melalui laman sesawang yang mempromosi kosmetik untuk tujuan pemulihan dan antipenuaan kulit tanpa merujuk kepada pengamal perubatan berdaftar yang dikhuatiri akan mengakibatkan kesan sampingan buruk dan membahayakan kesihatan orang ramai.

Iklan

"Kes akan disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan jika sabit kesalahan, pihak yang berkaitan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 di bawah akta yang sama.

"Sehubungan itu, JKNS menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati sewaktu membeli sebarang keluaran kesihatan dan kosmetik yang dijual dan memastikannya berdaftar dengan PBKD KKM," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Sementara itu, Dr Sha'ari menasihati orang ramai agar mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat berkenaan produk yang meragukan sebagai usaha bersama pihak kementerian untuk membanteras penjualan produk kesihatan yang tidak dibenarkan bagi melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam. - Bernama