Surah Al-Kahf ibarat mutiara

Iklan
Dr Zulkifli menyampaikan hujah pada World Convention Al-Kahf di Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam. Foto Sinar Harian/Rosli Talib

KUALA LUMPUR - Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad berkata, surah Al-Kahf mengandungi beribu pengajaran dan panduan bagi orang Islam.

Beliau berkata, antara pengajaran itu adalah kisah Nabi Musa dan Nabi Khidir yang diceritakan dalam surah tersebut yang diibaratkan sebagai mutiara cukup hebat.

Iklan
Iklan

"Surah Al-Kahf namanya unik iaitu gua. Surah ini seolah-olah memberi maksud cukup hebat. Kalau kita sebut tentang gua ini, Islam tak boleh lari daripada gua.

"Bermula daripada Iqra' dalam gua, hijrah pertama pun di Gua Tsur dan Perang Uhud ada kaitan dengan Gua Uhud. Gua ini digambarkan sebagai penyelamat keimanan," katanya.

Iklan

Menurutnya, mengenai cabaran keilmuan pada hari ini adalah masalahnya kita rasa cukup pandai dan kita tahu.

"Ini penyakit apabila dia tahu satu juzud akhirnya penyakit ini membarah dalam jiwa manusia.

Iklan

"Nabi Musa pernah ditanya tentang siapa paling alim, dia sebutlah mungkin hakikat dialah paling alim di muka bumi ketika itu. Maka ALLAH menyuruh Musa belajar dengan seseorang yang diberikan ilmu," katanya.

Beliau berkata, mafhum daripada kisah ini menunjukkan kepada kita bahawa dalam Islam, ilmu ini perlu dituntut berterusan dan tidak boleh berhenti. Ilmu ini perlu dicari bermula daripada buaian hingga ke liang lahad.

"Bayangkan seorang terkenal iaitu Abu Raihan al-Biruni yang dikatakan lebih handal daripada Socrates sebagai ahli falsafah pada 78 tahun dan hampir meninggal dia panggil anak muridnya untuk bincang tentang nenek yang rosak dalam bab saka.

"Anak muridnya kata tok guru saat masa ini tak perlu kita bincang dah. Lalu beliau beri pengajaran amat bermakna dengan berkata bahawa aku bertemu ALLAH SWT dalam keadaan Dia mengetahui, dalam keadaan aku mengetahui hal ini lebih baik daripada aku bertemu ALLAH dalam keadaan jahil. Ini yang dijawab oleh guru kepada Imam Malik," jelasnya.

Katanya, perkara kedua adalah kita hendaklah bertanya jika tidak tahu dan jangan semberono rasa-rasa atau jangka-jangka. Menurutnya, hakikat ilmu ini adalah paduan maklumat yang sahih dan jika tidak sahih itu bukan ilmu.

"Kalau nak dapat seperti itu kita kena banyak bertanya. Nabi Musa bertanya dan Nabi Khidir menjawab, tanya kepada yang lebih tahu adalah kunci kepada ilmu.

Untuk itu beliau berkata, kita perlu ada matlamat untuk menghayati dan mengamalkan ilmu tersebut.

Katanya, tidak munasabah orang yang tahu tapi tidak beramal dan menghayati ilmu.

"Sedangkan, apabila dilakukan amalan dan penghayatan, maka kehidupan sentiasa terpimpin serta nur akan membentuk keperibadian seseorang.

"Dalam kisah Nabi Khidir dan Nabi Musa turut menceritakan tentang persahabatan. Maksudnya, salah satu cara meraih ilmu adalah dengan bersahabat. Maka, tak pelik bila Imam Shafie menyatakan saudara, kamu tidak akan dapat ilmu kecuali dengan enam perkara. Salah satunya adalah bersahabat dengan ustaz.

"Kisah ini menunjukkan bersahabat itu penting kerana bila kita bersahabat kita kenal macam mana guru kita nak marah, cara berjalan dan cara dia beribadat. Sahabat ini rapat dan kita akan dapat banyak maklumat. Inilah sepatutnya kita wujudkan dalam kamus kehidupan kita," jelasnya.

Info

- Cabaran keilmuan pada hari ini adalah ramai rasa cukup pandai dan tahu segalanya.

- Ilmu perlu dituntut berterusan dan tak boleh berhenti.

- Hakikat ilmu adalah panduan maklumat yang sahih dan jika tidak sahih ia bukan ilmu.

- Salah satu cara untuk mendapatkan ilmu adalah dengan bersahabat dengan mereka yang alim.