SHAH ALAM - Kerajaan telah bersetuju untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi meneliti secara holistik dakwaan-dakwaan dalam buku bertajuk"My Story: Justice in the Wilderness” nukilan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penubuhan RCI itu adalah selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) yang terletak di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong.
"Pada 11 Januari 2023, laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan ke atas dakwaan-dakwaan dalam buku bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.
"Penubuhan RCI ini adalah selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) yang terletak di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong.
"Kerajaan memandang serius terhadap dakwaan yang melibatkan pelanggaran tanggungjawab profesional suatu jawatan tertinggi. Hal ini kerana ketelusan dan akauntabiliti adalah asas kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran keadilan dan institusi kerajaan.
"Cadangan terma tauliah RCI ini akan mempunyai skop yang lebih luas dan tidak terhad kepada syor-syor yang telah dikemukakan oleh Pasukan Petugas Khas,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Jelas Azalina, RCI ini bertujuan untuk mencari kebenaran serta mengemukakan syor kepada kerajaan untuk reformasi institusi perundangan negara dan bukannya untuk mencari kesalahan mana-mana pihak tertentu.
Tambahnya, terma tauliah yang terperinci, keahlian dan tempoh RCI ini akan dicadangkan kemudian oleh kerajaan.