JAGUH perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia ditunjukkan jalan keluar setelah tewas kepada pemain muda Jepun, Kodai Naraoka seawal pusingan pertama kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2023 di Bukit Jalil sebentar tadi.
Zii Jia yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan terpaksa akur dengan ketangkasan pemain berusia 21 tahun itu dalam aksi yang berlangsung di Axiata Arena.
Dalam pertarungan tersebut, pemain nombor dua dunia itu kecundang menerusi tiga set permainan 13-21, 21-17 dan 21-18 dalam tempoh 73 minit permainan.
Kekalahan tersebut memeritkan buat pemain yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu kerana ia menjadi pencapaian terburuk berbanding edisi lalu apabila mara ke Pusingan 16.
Pada pusingan kedua itu, Zii Jia tewas kepada pemain bukan pilihan dari Indonesia Shesar Hiren Rhustavito.
Beliau juga kalah dalam pusingan pertama kepada pemain Thailand, Suppanyu Avihingsanon pada edisi 2019.
Buat Naraoka pula, ia menjadi kemenangan bermakna dalam kariernya apabila melakar keputusan positif dalam pertemuan sulung menentang Zii Jia di pentas antarabangsa.
Naraoka akan membuat perhitungan dengan pemain muda negara, Ng Tze Yong dalam pusingan kedua pada Khamis.