NEW DELHI - Seorang lelaki India menjadi tajuk utama berita di negara tersebut selepas memenuhi permintaan mendiang isterinya dengan membina patung mirip wanita kesayangannya itu dan berharap mereka boleh hidup bersama, lapor portal Oddity Central.
Pesara kerajaan, Tapas Sandilya dari Bengal Barat telah kehilangan isterinya berumur 39 tahun pada 2021 semasa pandemik Covid-19.
Semasa kejadian, Indrani dimasukkan ke hospital dan diasingkan, jadi suaminya tidak dapat berada di sisi semasa isterinya menghembuskan nafas terakhir.
Sandilya yang bertekad untuk memenuhi permintaan akhir isterinya, mencari artis seni yang boleh mencipta patung silikon mirip Indrani dan menghabiskan masa enam bulan dengan kos sebanyak AS$3,000 (RM13,111) bagi merealisasikan impian mereka.
"Kami mengunjungi kuil Iskcon di Mayapur sedekad lalu dan tidak berhenti mengagumi patung di sana yang seakan-akan hidup.
"Pada ketika itu Indrani memberitahu saya keinginannya untuk membina patung sama jika dia meninggal dunia," ujarnya.
Pada tahun lepas, Sandilya menemui seorang pengukir yang sanggup membina patung mirip mendiang isterinya dengan menggunakan silikon.
Malah, lelaki berusia 65 tahun itu memastikan bahawa model seberat 30 kilogram menepati citarasanya seperti potongan rambut, riak wajah dan pakaian sari yang sering dipakai isterinya.
Sandilya menambah, walapun pada mulanya keluarga menentang hasrat ingin 'mengembalikan' isterinya, namun akhirnya mereka akur dengan keputusannya itu. - Agensi