KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berpandangan akan wujud perpecahan dalam UMNO sekiranya jawatan utama parti itu dipertandingkan meskipun beliau terbuka untuk bersaing.
Beliau menyifatkan lebih baik jawatan utama diputuskan menang tanpa bertanding dengan mengambil kira situasi UMNO ketika ini dalam keadaan 'terduduk'.
"Kalau boleh dalam keadaan kita dah jatuh terduduk begini, sebaiknya jawatan presiden dan lain-lain itu eloklah menang tanpa bertanding dan itu sebaiknya.
"Saya tak ada masalah (terbuka)... siapa nak bertanding lawan Timbalan Presiden, (tapi) saya mempertahankan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO akan dipertandingkan pada pemilihan UMNO akan datang.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau menjelaskan, UMNO merupakan parti yang mengamalkan demokrasi.
"Kita dah tak macam dulu jika nak bertanding Presiden atau Timbalan Presiden mesti ada kuota.
"Sekarang ni senang sahaja. Ada seorang penyokong dan seorang pencadang sudah boleh (bertanding), jadi terpulanglah. Tepuk dada tanya selera," katanya.
Ikuti perkembangan semasa mengenai Perhimpunan Agung UMNO 2022 di sini!