SHAH ALAM - Penganjuran Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) membuktikan akhbar itu bukan hanya melaporkan berita mengenai isu semasa dan politik semata-mata, sebaliknya merangkumi semua aspek termasuk keusahawanan.
Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, meskipun akhbar ini sinonim dengan isu semasa dan politik, namun beliau tidak mahu jenama itu berada di takuk yang sama.
Menurutnya, Sinar Harian akan dipelbagaikan lagi dari segi konteks pengisian termasuk berkaitan perniagaan dan keusahawanan untuk menarik lebih ramai pembaca.
"Sinar Harian kini memasuki tahun ke-17 dalam dunia penerbitan yang menjadi wadah penyampaian berita untuk seluruh rakyat Malaysia setiap hari. Jadi, dalam tempoh ini syarikat sudah berevolusi dan melakukan pelbagai transformasi.
"Walaupun (orang tahu) ‘makanan’ Sinar Harian (adalah) berita semasa dan politik, tetapi selama mana kita mahu berada dalam skop sama. Justeru, sekarang ini kita mahu mempelbagaikan konteks serta komuniti.
"Kami khususnya pihak pengurusan bersetuju pada tahun 2023 ini untuk menyokong komuniti perniagaan dan usahawan bagi mendepani cabaran ekonomi. Penganugerahan BISA yang akan berlangsung pada 23 Februari depan adalah salah satu permulaan yang baik,” katanya dalam temu bual pada Isnin.
Jelasnya, penganjuran julung kali anugerah itu tidak bersifat jangka masa pendek, sebaliknya ia melibatkan perancangan untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan khususnya penglibatan golongan keusahawanan dalam usaha memastikan produk dan perniagaan mereka lebih terjamin.
Tambah Zamri, BISA juga merupakan satu permulaan untuk Sinar Harian mendekati, menghargai dan membawa jenama Malaysia ke peringkat global melalui pelbagai saluran dan medium Sinar Karangkraf iaitu Sinar Harian, Sinar Premium, Sinar Daily, Sinar Plus, Sinar Bestari dan Sinar Islam Plus.
"Kami juga telah menyediakan pelbagai program yang membina masyarakat seperti Quran Hour dan Quran Time serta Rasuah Busters sebagai satu perjuangan melawan isu-isu berkaitan rasuah dan integriti.
"Kami menyebarluaskan program-program ini di semua platform media kami termasuklah melancarkan program BISA. BISA membawa konsep mendekati komuniti perniagaan untuk jangka masa panjang. Kami mahu menjadikan 2023 sebagai pemangkin kepada inisiatif ini,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru pemain industri dan golongan usahawan khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tampil memperkenalkan produk mereka melalui platform Sinar Harian seterusnya menjadikan BISA sebagai tangga untuk melangkah lebih maju pada masa depan.