BEIJING - Gara-gara dihidangkan menu didakwa terlalu ringkas oleh keluarga teman lelakinya, seorang wanita di China nekad memutuskan hubungan cinta mereka.
Kejadian pelik melibatkan wanita berusia awal 20-an dari wilayah Sichuan itu turut menjadi tular setelah dia berkongsi gambar hidangan 'berjimat-cermat' ketika berkunjung ke rumah keluarga kekasihnya.
Menurut laporan media tempatan, wanita itu melakukan perjalanan selama dua jam setengah untuk bertemu kedua ibu bapa teman lelakinya buat pertama kali.
"Dia agak kecewa kerana hanya dihidangkan semangkuk mi dengan telur goreng, bubur labu dan beberapa hidangan 'biasa-biasa'.
"Wanita itu mengharapkan menu lebih menarik dan turut menyindir kekasihnya dengan menyatakan ia adalah hidangan 'orang biasa'," lapor South China Morning Post.
Selepas dua hari meluangkan masa dengan keluarga teman lelakinya, wanita itu akhirnya meminta untuk pulang dan turut berkeras mahu berpisah.
"Dia tahu saya tidak suka mi, tetapi ibunya berulang kali menghidangkan menu yang sama," rungutnya.
Klip video dikongsi wanita itu turut menerima lebih tujuh juta view dan lebih 4,300 komen yang mana kebanyakan pengguna menyokong keputusannya.
"Dia patut bersyukur kerana dapat mengetahui perkara sebenar sebelum berkahwin iaitu keluarga kekasihnya tidak akan memberi layanan baik kepadanya," kata seorang pengguna. - Agensi